KUALA LUMPUR 17 Ogos - Perkembangan serentak isu 13 tuntutan MCA dan kewujudan perlembagaan versi baru dilihat bertujuan untuk melenyapkan kepentingan Melayu di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Habshee berkata, isu tersebut yang berlaku dalam waktu sama merupakan strategi pihak tertentu bagi menguji sejauh mana kemampuan UMNO untuk menanganinya.
"Sehubungan itu, orang Melayu termasuk UMNO perlu bersatu padu kerana perkembangan tersebut merupakan propaganda yang akan mengancam masa depan bangsa," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek semalam mempertahankan kenyataannya pada Kongres Ekonomi Cina Sabtu lalu yang meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Malah bekas Menteri Kesihatan itu dalam kenyataan akhbarnya semalam menegaskan, yang beliau tidak teragak- agak berkongsi pandangan sama dengan DAP untuk kepentingan masyarakat Cina.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas tindak tanduk Soi Lek itu mengingatkan MCA supaya jangan terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga menjejaskan kestabilan serta keharmonian antara kaum di negara ini.
Sementara itu, Syed Ali turut mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memanggil mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) bagi membincangkan kedua-dua isu tersebut.
"Ini isu serius dan orang Melayu sedang memerhati sejauh mana ketegasan UMNO, jika kita masih berdiam diri, saya khuatir rakyat semakin mencemuh UMNO," tegasnya.
Menurutnya, MCA yang senada dengan DAP telah membelakangkan semangat setia kawan dengan UMNO sebagai sekutu politik terkuat dalam Barisan Nasional (BN).
"Oleh sebab itu Soi Lek tidak malu mengemukakan pelbagai tuntutan demi kepentingan kaum Cina di depan Perdana Menteri.
"Beliau sengaja bangkitkan kemarahan orang Melayu di depan Datuk Seri Najib, ini merupakan perbuatan yang disengajakan untuk menguji keberanian UMNO berdepan isu tersebut," ujarnya.
No comments:
Post a Comment