Wednesday, August 18, 2010

Dipinda 45 kali, kedudukan Melayu tetap kekal


DALAM apa-apa pertikaian pun, akhirnya kita akan merujuk balik kepada sejarah. Tidak kira apa isu pun, yang penting faktanya.
Katakanlah, apa yang didedahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria itu benar bahawa terdapat kegiatan pihak tertentu cuba mewujudkan 'perlembagaan baru' bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan, kita mungkin belum lagi terkejut. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan sendiri sudah dipinda banyak kali.
Namun apabila Harussani mengaitkan bahawa 'perlembagaan baru' itu akan menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang, kita khususnya orang Melayu pasti berasa terhiris, lagi tersayat.
Sekadar renungan, meskipun Perlembagaan Persekutuan telah dipinda sebanyak 45 kali, peruntukan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum-kaum lain tetap kekal sehingga kini di bawah perkara yang sama.
Bagi Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) yang arif mengenai undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, beliau berpendapat, adalah mujur kaum Melayu masih mempunyai satu aset yang tidak berjaya dihapuskan oleh penjajah Inggeris iaitu hak-hak keistimewaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Tegas beliau, apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu itu ialah kedaulatan dan keistimewaan institusi tradisional tersebut yang sentiasa rapat dengan 'psyche keMelayuan'. Dan secara tradisi, pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lainnya sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu.
''Ini adalah kerana mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah berkata orang Melayu mempunyai hak mereka dalam pewaris kepada tanah ini," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 pula, pegawai-pegawai tinggi Inggeris terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal ketika Bintang Tiga dan penjahat komunis cuba merampas Malaya.
''Perkara pokok seperti hak keistimewaan orang Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran raja-raja Melayu, hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu diberi peruntukan di dalam perjanjian tersebut," katanya.
Tambah Rais, perjanjian itu sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum-kaum lain tidak akan disia-siakan dan ia menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid sembilan tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Ini diperkuatkan lagi dengan laporan Suruhanjaya Reid yang terkandung ayat: "Pihak Pakatan dalam memorandum mereka berkata, Perlembagaan seharusnya memperuntukkan bahawa Yang Di Pertuan Besar (Agong) perlu mempunyai tanggungjawab khas bagi mengawal kedudukan istimewa orang Melayu".
Kata Rais, ungkapan rasmi tersebut membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum-kaum lain di Malaya ketika itu.
Maka, hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Dan walaupun ia telah dipinda berpuluh-puluh kali, peruntukan itu tetap kekal sehingga kini.
Setiap perlembagaan sesebuah negara mengandungi apa yang diiktiraf sebagai peruntukan-peruntukan yang tidak boleh diubah atau dipinda melalui proses biasa tetapi hanya melalui kelulusan dua pertiga anggota Dewan Rakyat yang hadir bermesyuarat.
Menyelusuri fakta-fakta sejarah itulah, satu rumusan perlu difikirkan bagi pihak orang Melayu dan kaum pribumi supaya masa depan anak cucu tidak diganggu gugat serta mereka tidak tercari-cari tentang haluan dan kedudukan bangsa sendiri.
Di satu sudut, Perlembagaan Persekutuan dengan kontrak sosial juga perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam supaya erti kata sebenarnya tidak lagi dipersoalkan - seolah-olah menolak isi kandungan yang telah sedia dibentuk.

No comments:

Post a Comment