Wednesday, August 18, 2010

Jangan bersekongkol dengan DAP


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Beberapa pemimpin UMNO menyelar Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berikutan kenyataannya semalam yang menegaskan parti itu tidak takut untuk berkongsi pandangan yang sama dengan DAP demi manfaat komuniti Cina.
Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustafa Kamal Mohd. Yusoff berkata, kenyataan Soi Lek yang menunjukkan yang beliau kini seolah-olah sanggup bersekongkol dengan DAP, boleh juga menjurus ke arah memecahbelahkan keharmonian kaum.
"Kenyataan yang dikeluarkan Soi Lek itu nyata tidak berasas dan boleh menjejaskan semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN) yang dipupuk sejak sekian lama.
"Soi Lek sepatutnya menggunakan saluran yang betul dan berkesan dalam menyuarakan pandangan, cadangan dan masalah yang mereka hadapi dan bukan dengan mencari jalan pintas untuk mencari populariti serta sokongan masyarakat Cina melalui kenyataan tidak berasas itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustafa Kamal menyifatkan Soi Lek tidak berlaku adil kepada UMNO dan BN apabila membuat tuntutan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui bersama sewaktu negara mencapai kemerdekaan 53 tahun dahulu.
"Kalau nak menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri, jangan sesekali melukakan perasaan kaum lain terutamanya orang Melayu. Budaya ini amat berbahaya kepada BN," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kenyataan Soi Lek itu jelas menunjukkan beliau tidak menghormati semangat perpaduan antara pemimpin UMNO, MCA dan MIC.
Tegas Rosnah, Soi Lek dan pemimpin MCA yang lain harus sedar bahawa negara ini bukan dibina atas sentimen perkauman sempit tetapi ia terbentuk kerana nilai hormat menghormati.
"Jangan kerana semata-mata hendak menagih sokongan masyarakat Cina, Soi Lek lupa kepada dasar Perlembagaan yang telah dipersetujui yang membolehkan kita hidup dalam keadaan aman sehingga hari ini," jelasnya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar berkata, Soi Lek perlu memohon maaf kepada BN kerana kenyataannya itu tidak mengambil kira kepentingan parti dan kaum lain di negara ini.
"Tindakan itu juga boleh disifatkan sebagai satu percubaan untuk mengembalikan semula kuasa politik MCA yang kini kian terhakis dengan mendampingi DAP.
"Setiap masyarakat ada masalah dan ada perasaan tidak berpuas hati. Kita tidak boleh memperjuangkan nasib kaum sendiri tanpa menjejaskan hak kaum lain," katanya.
Rizalman berkata, oleh itu, Pemuda UMNO akan menyampaikan rasa kesal dengan kenyataan Soi Lek itu kepada Pemuda MCA tidak lama lagi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment