Wednesday, August 18, 2010

Kerajaan digesa tolak resolusi MCA


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa kerajaan supaya menolak kesemua 13 resolusi MCA yang dibuat pada Kongres Ekonomi Cina, Sabtu lalu terutama yang mencabar hak bumiputera dan agenda pemuafakatan serta pembangunan negara.
Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad berkata, tuntutan-tuntutan itu didapati berat sebelah dan secara jelas membelakangi agenda pembangunan nasional kerana jika diterima ia akan merugikan masyarakat bumiputera.
Sebagai contoh katanya, tuntutan MCA agar kerajaan menghapuskan ekuiti 30 peratus bumiputera secara berperingkat tidak boleh diterima kerana realiti ekonomi tempatan menunjukkan golongan itu masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain.
"Mengenai tuntutan yang mahukan kerajaan melantik pengarah kanan syarikat milik kerajaan (GLC) di kalangan kaum Cina pula, adakah MCA boleh menjamin perkara sama di syarikat milik pengusaha Cina?
"Sepatutnya sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA perlu bersuara selari dengan agenda nasional dan semestinya mereka faham dengan keadaan ekonomi semasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu Hasan bersama Pengerusi Panel Penasihat Ekonomi MPM, Datuk Salleh Majid dan salah seorang anggotanya, Datuk Halipah Esa bermesyuarat bagi meneliti 13 resolusi MCA seperti disuarakan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada Sabtu lalu.
Hasan menambah, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Biro Ekonomi UMNO sedikit masa lagi bagi mengetahui pendirian parti tunjang BN itu berkenaan permintaan MCA.
"Pendirian UMNO penting kerana parti itu yang lebih berhak untuk menegur kepimpinan MCA yang dilihat ekstrem dan menyentuh sensitiviti kaum lain," tegasnya.
Dalam pada itu, Halipah yang merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) memberitahu, tuntutan MCA agar kerajaan mendirikan lebih banyak sekolah vernakular juga dilihat mempunyai agenda politik kaum.
"Kita semua sedia maklum mengenai status sekolah vernakular, jadi jika mahu didirikan dengan lebih banyak ia perlu dilakukan oleh masyarakat dan kaum terlibat tanpa menggunakan dana kerajaan sepenuhnya," tegasnya.
Sementara itu Salleh memberitahu, MPM sedia menganjurkan sebuah konvensyen ekonomi secara besar-besaran untuk disertai parti-parti politik seperti UMNO, MCA dan MIC.
"Pada konvensyen itu nanti, kita boleh mengingatkan pihak terbabit mengenai situasi sebenar ekonomi tempatan dan kami juga sedia ditegur, tidak ada cakap belakang lagi," jelas bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) itu.

No comments:

Post a Comment