BANGI 17 Ogos - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berharap segala isu berkaitan tuntutan terbaru MCA dapat diselesaikan secara baik dengan semangat kekeluargaan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, dalam hal ini MCA tidak perlu hebahkan kepada umum segala tuntutan mereka kerana semua parti komponen BN berada dalam satu gelanggang politik yang sama bermatlamat membantu masyarakat.
Menurutnya, pendekatan itu merupakan kaedah terbaik kerana ia bukan hanya mengukuhkan kekeluargaan dalam BN tetapi mampu menguatkan lagi kerjasama antara satu sama lain.
"Saya amat berharap isu berbangkit MCA dapat dirunding, dibincang secara baik di bawah landasan BN.
"Itu memang perjuangan kita dalam BN sejak dari dahulu hingga sekarang," katanya ditemui selepas majlis berbuka puasa peringkat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di sini malam ini.
Shafie mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menegaskan parti itu tidak takut berkongsi pandangan sama dengan DAP dalam hal yang memberi keuntungan kepada masyarakat Cina.
Soi Lek yang menjawab peringatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MCA yang kini diterajui kepimpinan baru percaya bahawa pendirian itu mempunyai asas dan wajar.
Sebelum itu, Hishammuddin mengingatkan agar MCA tidak mengambil pendirian menyimpang daripada perjuangan yang sudah disepakati sekian lama dalam BN.
Peringatan Naib Presiden UMNO itu dibuat ekoran kenyataan Soi Lek yang mendesak kerajaan supaya mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan MCA supaya jangan terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian antara kaum di negara ini.
Ditanya adakah tindakan Soi Lek itu bertujuan meraih kembali sokongan kaum Cina yang terjejas terhadap MCA, Shafie berkata, sesiapa sahaja tidak diukur daripada sekadar laungan agresif sebaliknya berdasarkan kepada perkhidmatan terbaik yang diberikan kepada rakyat.
"Jika dibuat secara terbuka, ia tidak akan menguntungkan kita tetapi sebaliknya akan memberi masalah pada akhirnya.
"Kena ada hikmahnya, malah dalam beribadat pun aurat kita dituntut supaya ditutup. Ada cara dan kaedahnya. Tidak perlu didedah atau dibuka hanya untuk menambat hati penyokong masing-masing," katanya.
No comments:
Post a Comment