Oleh Abu Bakar Al Sidek
bhnews@bharian.com.my
2010/08/07
TUJUH beradik (duduk dari kiri) Kaspul Anuwar, Mohamad Alias,Yusrina, Zainal Affendi sementara berdiri di belakang Zainal Ariffin, Norlaila dan Mohamad Hafizul Haffiz menunjukkan dokumen sijil kelahiran mereka.
HUTAN MELINTANG: Tujuh beradik berusia antara 23 hingga 33 tahun yang berasal dari Parit 25, Kampung Tanjung Bayan, di sini melahirkan rasa kecewa apabila gagal memperoleh MyKad walaupun mempunyai sijil kelahiran.
Mereka ialah Mohamad Hafizul Haffiz Bambang lrwan, 23; Zainal Ariffin, 24; Norlaila, 25; Zainal Affendi, 26; Yusrina, 30; Mohamad Alias, 33, dan Kaspul Anuwar, 34.
Yusrina berkata, mereka dilahirkan di Kampung Tanjung Bayan selepas ibu bapa mereka, Bambang lrwan Sirwan, 75, dan Rosnah Sabri, 54, kedua-duanya warga lndonesia berasal dari Tanjong Pinang Kepulauan Riau, lndonesia, berhijrah ke negara ini pada 1970-an.
Katanya, mereka mendapat sijil kelahiran serentak bertarikh 20 September 2004 dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui pendaftaran lewat kelahiran selepas membayar denda RM90 seorang.
Namun, dia berkata, sehingga kini mereka belum mendapat MyKad, sedangkan kakak sulung mereka, Mariati, 45, yang dilahirkan di Tanjung Pinang, Indonesia dan kini menetap di Seberang Perak, sudah mendapat kad pengenalan.
“Jika kakak sulung kami yang dilahirkan di lndonesia boleh mendapat kad pengenalan, mengapa pula kami yang dilahirkan di Malaysia tidak layak memperolehnya.
“Kami hanya tahu Malaysia sebagai tanah tumpah darah kami. Kami tidak ada saudara-mara lagi di lndonesia, kami mahu mati di sini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Yusrina berkata, pihak yang berkenaan meminta mereka pulang ke lndonesia dan masuk semula ke negara ini menerusi saluran Kedutaan lndonesia bagi membolehkan mereka mendapat kad pengenalan.
“Saya sudah menghubungi pihak berkuasa Kedutaan lndonesia di Kuala Lumpur dan pihak di Jakarta, tetapi usaha kami juga sia-sia kerana mereka tidak dapat membantu kami,” katanya.
Beliau berkata, lebih 20 tahun mereka adik-beradik hidup dalam keadaan tertekan seperti menjadi orang buruan kerana tidak mempunyai kad pengenalan.
“Kami tidak mudah putus asa, sebaliknya terus berusaha bagi mendapatkan kad pengenalan,” katanya yang mengesahkan mereka berbelas kali terpaksa bersoal-jawab dengan polis ketika melalui sekatan jalan raya.
Sementara itu, Kaspul Anuwar berkata, kegagalan mendapatkan dokumen itu menyebabkan mereka sebelum ini tidak dapat belajar di sekolah kerajaan, sebaliknya hanya belajar di sekolah agama dan apabila dewasa, tidak dapat bekerja di sektor kerajaan.
Katanya, mereka adik-beradik sudah puas berusaha mendapatkan dokumen itu, termasuk mengemukakan masalah itu kepada JPN dan pihak Jabatan Imigresen.
“Malah, kami juga pernah mengemukakan masalah itu kepada menteri bertanggungjawab dan Biro Pengaduan Awam, namun tidak berhasil,” katanya.
No comments:
Post a Comment