KUALA LUMPUR – Penyampai radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau Raja Azura menafikan dia dan suaminya bercerai namun mengaku pergi ke mahkamah syariah baru-baru ini.
Menurut Raja Azura, 38, dia dan suami, Adzmin Tan Sri Osman, 37, pergi ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 3 Ogos lalu untuk mendapatkan khidmat kaunseling.
“Saya dan suami pergi bersama ke mahkamah pada hari berkenaan bagi membincangkan hal rumah tangga secara tertutup sekali gus mencari jalan perdamaian terhadap ikatan yang dibina sejak sembilan tahun lalu.
“Sudah menjadi kebiasaan apabila suami isteri berdepan masalah dalam hidup. Lantaran itu, kami bersepakat menemui individu-individu arif dalam selok-belok perkahwinan bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya ketika ditemui pada sidang media khas di pejabat AMP Radio Network, Bukit Jalil di sini semalam.
Menurut Raja Azura yang lebih dikenali sebagai Kak Engku, dia dan suaminya yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff sudah matang untuk mengambil tindakan dalam melayari kehidupan berumah tangga.
Kak Engku berkahwin dengan Adzmin pada 2003 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Haqim, 7 dan Puteri Mia Maizura, 4.
Menurut Raja Azura, setakat ini rumah tangga beliau dan Adzmin tetap seperti biasa biarpun masyarakat dikejutkan dengan desas-desus mereka sudah berpisah.
No comments:
Post a Comment