Saturday, August 7, 2010

Pemilihan PKR jadi penentu nasib



SHAH ALAM – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hujung tahun ini dijangka menjadi penentu penghujung perjuangan parti tersebut dalam arena politik negara. 

Senator Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, pertembungan dan perebutan kuasa serta jawatan dalam parti dalam kalangan pimpinan PKR dilihat semakin luas dan tidak dapat dibendung lagi. 

“Dalam PKR sekarang, mereka bukannya pejuang asal kerana masuk disebabkan peluang dan hari ini hanya mahu tambah jawatan lebih dalam parti. 

“Pemilihan PKR ini sudah banyak kali ditangguhkan kerana mereka sudah tidak dapat membendung pertembungan dan perbezaan yang berlaku,” katanya semasa sesi dialog bersama Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam. 

Beliau, yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, selain kebobrokan yang berlaku dalam PKR, terutamanya dalam kalangan pemimpin, kes liwat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isu dominasi bangsa lain serta perjuangan asal yang tersasar juga adalah penentu suhu atau orientasi politik parti itu pada masa depan. 

Ezam turut menyentuh mengenai tindakan lima Ahli Parlimen PKR yang bertindak keluar parti. Ini adalah suatu keadaan yang tidak pernah berlaku dalam politik semasa. 

“Pemilihan parti PKR yang akan dibuat tidak lama lagi pastinya akan menjadi saksi kepada kemampuan parti itu sebagai sebuah parti yang berwibawa atau sebaliknya. 

“Kita tahu PKR bukanlah sebuah parti yang kuat. Kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu juga bukan disebabkan kekuatan parti itu, tetapi kerana protes rakyat terhadap kelemahan BN yang perlu diselesaikan dari sekarang sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang,” katanya. 

Menurutnya oleh itu BN, khususnya UMNO, perlu membuat perubahan secara serius bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka dalam PRU-13 itu. 

“Saya sering mengingatkan UMNO supaya jangan terlalu leka dengan ramai pemimpin PKR yang lompat parti kerana lemahnya PKR tidak menjamin kuatnya Barisan Nasional. 

“Perkara yang paling promising (menjanjikan) ialah pindaan Perlembagaan parti oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan melebarkan pemilihan parti kepada seluruh cawangan yang menjadi titik tolak untuk tindakan reform (perubahan) dalam UMNO selepas ini,” katanya. 

“Kami telah melalui pengalaman dalam PKR apabila pemimpinnya tidak mampu berbuat apa-apa tentang bangsa Melayu kerana mereka cauvinis yang tidak kompromi tentang kepentingan sendiri,” katanya. 

Menurutnya, PKR kini telah menyimpang daripada perjuangan sebenar, berbanding penubuhan parti tersebut pada 1999. 

Ezam memasuki PKR yang ditubuhkan pada 4 April 1999 dan meninggalkan parti itu pada Oktober 2006. Beliau menyertai UMNO pada 28 Mei, 2008 dan dilantik Senator pada 3 Mei 2010.

No comments:

Post a Comment