Bantahan itu dinyatakan secara sebulat suara dalam satu mesyuarat khas yang melibatkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS), Gabungan Persatuan Usahawan Melayu Selangor (GAPUMS) dan Majlis Perniagaan dan Ekonomi Melayu Malaysia (MPEMM) di sini hari ini.
Timbalan Yang Dipertua DPMMS, Datuk Mohd. Karim Abdullah Omar berkata, cadangan itu disifatkannya sebagai satu yang tidak boleh diterima sama sekali kerana ia boleh menjejaskan keseimbangan ekonomi serta pemilikan ekuiti di antara kaum di negara ini.
Tegas beliau, sekiranya cadangan itu diterima oleh kerajaan negeri, ia akan memberikan impak negatif kepada golongan bumiputera untuk pemilikan kediaman mewah selain menyukarkan mereka menjalankan aktiviti perniagaan ekoran nilai hartanah komersial yang tinggi.
Keadaan ekonomi bumiputera ketika ini jelasnya, masih lagi pada paras rendah berbanding kaum-kaum lain memandangkan setakat 2008, pemilikan hartanah bagi kaum itu hanya 14 peratus bagi kediaman, tiga peratus (premis komersial) dan satu peratus bagi hartanah industri merangkumi kilang dan sebagainya.
''Jadi kita membantah cadangan ini yang dilihat menyekat golongan bumiputera untuk memiliki hartanah di negeri ini. Dari sudut lain, cadangan Tony mungkin bersifat rasis," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas itu di sini.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Naib Yang Dipertua DPMMS, Datuk Mohd. Said Mat Saman dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Perak (DPMMP), Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah.
Pada 26 Julai lalu, Tony mencadangkan kerajaan negeri ini memansuhkan dasar pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah melibatkan komersial dan rumah mewah di negeri itu.
Ahli Parlimen daripada DAP itu memberikan alasan langkah pemansuhan diskaun bakal mencetuskan kesan ekonomi yang lebih baik kepada kerajaan negeri dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur khususnya terhadap sektor hartanah di Selangor.
Dalam pada itu, Mohd. Karim yang menyanggah alasan sedemikan kerana dasar pemberian diskaun hartanah kepada bumiputera tidak menjejaskan pertumbuhan serta daya saing sektor hartanah di negeri ini.
Katanya, sejak pelaksanaan dasar itu pengenalan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB), Malaysia khususnya di Selangor mencatatkan pertumbuhan yang positif dalam sektor hartanah sama ada melibatkan kediaman, premis komersial mahupun industri.
Malah ujar beliau, permintaan terhadap sektor hartanah juga dilihat semakin berkembang setiap tahun termasuk nilai pasarannya yang semakin meningkat pada sepanjang masa.
''Maka tidak kaitan langsung dengan pertumbuhan sektor hartanah dengan dasar diskaun bumiputera ini. Pemberian diskaun hartanah bumiputera ini adalah satu usaha untuk menyusun semula kaum dari segi ekonomi dan ekuiti pemilikan menerusi pelaksanaan DEB.
''Namun, sasaran ekuiti pemilikan bumiputera sebanyak 30 peratus di bawah DEB masih belum tercapai dan ketika ini hanya dianggarkan hanya 19 peratus sahaja diperolehi," jelasnya.
Ekoran itu, Mohd. Karim mencadangkan agar agensi kerajaan seperti UDA Holdings Berhad dan anak-anak syarikat kerajaan negeri termasuk pihak pengurusan baitulmal dapat melaksanakan usaha membantu meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera khususnya di kawasan bandar.
No comments:
Post a Comment