Saturday, August 7, 2010

Kahwin ramai-ramai patut juga dibuat di seluruh Malaysia


Kahwin beramai-ramai di Melaka



MELAKA 6 Ogos - Berita baik untuk pasangan yang merancang mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Anda hanya perlu berbelanja sekitar RM2,500 tetapi bakal diraikan dalam suasana penuh meriah dan gilang-gemilang.
Apa yang harus anda lakukan ialah mendaftar untuk Majlis Perkahwinan Beramai-Ramai 1Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-54 tahun ini.
Majlis anjuran Gaya Jati Entertainment itu turut menetapkan tarikh istimewa iaitu 10 Oktober atau 10.10.2010 untuk meraikan persandingan 54 pasangan yang bakal dipilih nanti.
Pengarah Gaya Jati, Jaafar Abd. Rahman berkata, majlis itu kali kedua dianjurkan pihaknya sebagai menyahut gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Majlis perkahwinan beramai-ramai itu akan diadakan di A'Famosa Resort. Lengkap dengan kenduri kahwin secara gotong-royong dan pelamin juga disediakan kepada pasangan yang dipilih untuk menyertai program ini.
"Majlis perkahwinan beramai-ramai ini juga dijangka menarik minat pelancong asing bagi melihat secara lebih dekat adat perkahwinan masyarakat majmuk di negara ini," katanya di sini hari ini.
Katanya, program yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 10 Oktober ini turut mengandungi ceramah tentang rumah tangga manakala majlis pernikahan pasangan akan berlangsung pada 9 Oktober.
Menurut beliau, kira-kira 50,000 orang dijangka memeriahkan sambutan program itu yang turut menyediakan gerai-gerai jualan terutama produk andaman pengantin.
Jelasnya, dengan hanya RM2,500, pasangan terpilih akan disediakan pakej pakaian, pelamin, meja makan beradab, 150 keping kad jemputan serta jamuan untuk kesemua keluarga yang hadir termasuk pengunjung serta majlis perarakan.
"Majlis ini juga telah mendapat sokongan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang sememangnya mahu pasangan yang hendak berkahwin menyegerakan niat mereka untuk mengelak gejala tidak diingini.
"Ia juga bagi mengelakkan pasangan berhutang selepas berkahwin," katanya.
Menurut Jaafar, majlis gemilang itu dijadual dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin.
Ujarnya, pasangan yang berminat menyertai program itu diwajibkan mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak dan telah menjalani kursus perkahwinan.
Pasangan yang berminat boleh menghubungi Jaafar di 010-200 8895 atau 017-3858531 atau layari laman web 1malaysiawedding.blogspot.com atau Facebook Gaya Jati.

No comments:

Post a Comment