Wednesday, August 11, 2010

Elak segala maksiat




KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kelonggaran pegangan agama dalam kalangan masyarakat adalah punca utama berlakunya peningkatan gejala maksiat di negara ini. 

Beliau berkata, masalah sosial itu tidak hanya melibatkan pembuangan bayi sebaliknya ia mencakupi masalah penagihan dan pengedaran dadah, pengasingan agama daripada politik, pecah rumah serta pelbagai lagi. 

“Semua ini dipanggil maksiat. Maksiat ini adalah hasil daripada tidak ada takwa manusia kepada Allah SWT. Kalau manusia sedar malaikat ada di kiri dan kanan... dia tak berzina, mesti tidak buang anak. 

“Punca semua ini berlaku adalah disebabkan manusia sekarang longgar (agama) kerana pemimpin kita guna pemerintahan Malaysia ini dengan nasionalis. Buang agama dan politik. Kalau cuba Perdana Menteri sendiri anggap diri dia sebagai pendakwah utama dalam Malaysia tidak akan berlaku benda ini,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis penyerahan memorandum sokongan tuntutan royalti minyak oleh Persatuan Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 dekat sini, semalam. 

Sebanyak 450 tandatangan sokongan kepada tindakan kerajaan negeri menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat berjaya dikumpulkan oleh KPKM daripada pelajar Kelantan yang menetap di Kaherah tidak termasuk keseluruhan pelajar yang menetap di wilayah lain. 

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian pembuangan bayi di tiga negeri yang berlaku kelmarin. 

Akhbar semalam melaporkan penemuan mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat ditemui dalam keadaan mayatnya ‘dikafankan’ dalam longgokan sampah di Tapak Pelupusan Sampah Jalan Bercham–Tanjung Rambutan, Perak. 

Mayat bayi lelaki malang itu ditemui berbalut dengan kain lampin putih, kemudian dibalut pula dengan tudung dan kain batik, dibungkus dengan plastik serta dibuang ke dalam tong sampah sebelum dibawa ke tapak berkenaan. 

Mayat bayi itu ditemui oleh pemungut barangan lusuh di sini kira-kira pada jam 1.50 petang. 

Dalam kejadian berasingan seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 48 jam ditemui di hadapan sebuah rumah wanita warga emas berumur 70 tahun di Jabi, Segamat, Johor. 

Warga emas tersebut menyatakan dia hanya menyedari kewujudan bayi itu pada jam 11 malam apabila terdengar suara tangisan. 

Bayi yang baru berusia tiga hari itu dilaporkan ditinggalkan dalam keadaan masih lagi mempunyai tali pusat. 

Sementara itu dalam kejadian lain, satu janin bayi lelaki cedera teruk di kepala yang dipercayai dihumban ke dalam tong sampah dari tingkat atas sebuah pangsapuri di sini, semalam. 

Janin bayi lelaki yang cukup sifat itu dijumpai seorang lelaki yang enggan dikenali ketika ingin membuang sampah di tong yang terletak berhampiran pasar borong di Lintang Maccalum 1 kira-kira 12.10 tengah hari, semalam. 

Ketika ditemui janin itu tidak berbalut dalam keadaan berlumuran darah kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan dipenuhi sampah sarap selain sudah dihurung lalat. 

Mengulas mengenai cara menangani masalah itu, Nik Abdul Aziz berkata, peringatan dosa adalah cara terbaik bagi menangani masalah maksiat dan gejala sosial yang dilihat semakin serius pada masa kini. 

“Untuk menangani masalah ini... saya sebut berdosa. Itu (cara) menangani yang paling baik sekali. Beri sedar kepada rakyat campur gaul bebas ini berdosa, tapi berdosa ini tidak ada dalam pengajian sekular hanya dalam pengajian Islam. 

“Jadi bila kita sebut Islam tidak ada dalam pengajian sekular... jadi masalah. Sebab tu saya minta semua rakyat Malaysia, termasuk Perdana Menteri dan Menteri Besar balik semula kepada Islam. Bukan Islam pilih-pilih sebagaimana yang dikehendaki oleh golongan sekular. Ini karut,” katanya. 

Beliau berkata, umat Islam perlu ingat, setiap jenayah yang berlaku itu mampu ditangani dengan Islam. 

“Sebutlah jenayah apa sekali pun semua Arab Quraisy buat. Tetapi mereka berhenti kerana Islam. Terlalu banyak ayat Quran yang menerangkan bahawa manusia ini ada malaikat kiri dan kana siang dan malam menjaga. Atas dasar ini jenayah di kalangan orang Arab turun. Bukan kerana senjata nabi tetapi kerana takwa kepada Allah,” katanya.

No comments:

Post a Comment