Wednesday, August 11, 2010

Mahasiswa tidak sesuai berpolitik: Dr M

KUALA LUMPUR: Cadangan membabitkan golongan mahasiswa di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang politik mendapat reaksi negatif daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mahu mempertimbangkan untuk membenarkan mahasiswa di IPTA terbabit dalam parti politik. Katanya, kini masyarakat terutama ibu bapa perlu memperuntukkan dan membayar wang bagi membolehkan mahasiswa menimba ilmu.
“Mereka (mahasiswa) sepatutnya menggunakan kesempatan yang ada itu untuk menuntut ilmu, sebaliknya jika terbabit dalam politik, itu boleh dianggap perbuatan tidak bertanggungjawab. “Malah, mereka akan mempunyai banyak masa untuk terbabit dalam politik sebaik menamatkan pengajian. Apabila mereka sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, itulah masa yang sesuai,” katanya selepas Syarahan Umum mengenai Kesan Teknologi Kepada Masa Depan Pendidikan Tinggi anjuran Open University Malaysia (OUM) di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Mahathir turut menyempurnakan pelancaran ‘e-Learning Innovations’ dan menyampaikan syarahan kepada kira-kira 500 kakitangan OUM bertajuk Kesan Teknologi Kepada Masa Depan Pendidikan Tinggi. Semalam, sebuah akhbar melaporkan KPT akan mempertimbang untuk membenarkan mahasiswa di IPTA terbabit dalam parti politik. Sehubungan itu, Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya akan menyertai perbincangan meja bulat anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) yang turut dihadiri pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin mahasiswa.

Ahad lalu, Saifuddin menerima resolusi daripada wakil pemimpin mahasiswa mewakili 20 IPTA pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bersetuju membenarkan penuntut terbabit dalam parti politik dengan bersyarat. Sementara itu, Dr Mahathir juga meminta masyarakat negara ini menguasai teknologi yang semakin berkembang jika enggan ketinggalan dalam arus pemodenan.

No comments:

Post a Comment