Ia berdasarkan perjanjian luar biasa dengan seteru utama, Israel, selepas Libya setuju membebaskan seorang jurugambar Yahudi, kata pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Israel dan Libya secara teknikalnya masih berperang dan negara utara Afrika itu adalah antara pengkritik paling lantang Tel Aviv pada peringkat antarabangsa.
Agensi Kerja dan Bantuan PBB (UNRWA) yang menjaga pelarian Palestin, berkata mengikut perjanjian itu, Israel akan membenarkan Libya membiayai pembinaan semula rumah di sini dengan kos AS$50 juta (RM157.60 juta).
Lieberman dan pembantunya enggan mengulas perincian perjanjian membebaskan Hadad, 34, yang ditahan sebagai pengintip Mac lalu selepas berkunjung ke Libya menggunakan pasport dikeluarkan Tunisia, negara kelahirannya.
Rakan sekerjanya berkata, Hadad mengambil gambar tapak warisan Yahudi di Libya dan Israel menafikan jurugambarnya melakukan intipan.
Selepas membawa pulang Hadad kelmarin, Lieberman berkata: Saya fikir perjanjian dengan kerajaan Libya amat berjaya. Kami tahu mereka adalah rakan yang boleh dipercayai dan kami akan hormati tuntutan mereka dalam beberapa isu Palestin.
Rundingan pembebasan Hadad berlangsung ketika sebuah kapal disewa Libya bulan lalu membawa kargo bantuan untuk Gaza yang dikenakan sekatan Israel serta menjadi subjek perdebatan antarabangsa sejak sembilan aktivis dibunuh apabila tentera Israel menyerbu kapal bantuan Turki, Mavi Marmara, Mei lalu.
Peter Ford, wakil Ketua Pesuruhjaya UNRWA, berkata pada majlis menandatangani perjanjian dengan Yayasan Gaddafi Libya bahawa beratus-ratus keluarga Palestin akan mendapat manfaat daripada perjanjian itu. REUTERS
No comments:
Post a Comment