ANGKARA SIAPA...gambar Aisha yang didakwa didera kerana meninggalkan rumah suaminya menjadi penghias muka depan majalah Time edisi terbaru.
Mengulas paparan itu, Taliban berkata, Time berbohong apabila menuduh kumpulan itu memotong hidung dan telinga wanita terbabit - dikenali sebagai Aisha, 18 - selepas melarikan diri daripada keluarga iparnya yang kejam di selatan wilayah Uruzgan, tahun lalu.
“Propaganda terdesak digunakan Time menunjukkan kepada dunia bagaimana media antarabangsa akan melakukan apa saja bagi memuaskan hati AS, walaupun ia bercanggah dengan integriti kewartawanan,” kata jurucakap Taliban, semalam.
Agensi pemantau bebas AS, SITE, berkata kenyataan berbahasa Inggeris itu dikeluarkan di laman web Taliban pada Sabtu lalu.
Pertubuhan itu juga merujuk diri mereka sendiri sebagai Kerajaan Islam Afghanistan.
Kenyataan sama mendakwa AS sengaja ‘menerbitkan pembohongan itu bagi mengalih perhatian orang ramai’ daripada aib yang mereka alami di Afghanistan ketika ini.
“Gambar diterbitkan Time dan cerita tidak bertamadunnya yang sengaja dikaitkan dengan kerajaan Islam bukan saja palsu, malah menyalahi moral dan etika kewartawanan profesional.
“Ramai wartawan di seluruh dunia mengecam tindakan Time dan menganggap ia adalah jenayah kewartawanan,” kata kenyataan itu.
“Berhubung cerita mengenai Aisha, Kerajaan Islam Afghanistan mengecam tindakan tidak bertamadun, tanpa perikemanusiaan dan bercanggah dengan Islam itu.
“Kes itu tidak pernah dirujuk ke mana-mana mahkamah di Afghanistan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, memotong telinga dan hidung manusia - sama ada hidup atau mati - dilarang dalam Islam.
“Kami menyeru Time dan media Barat lain supaya berhenti menghina prinsip moral mereka semata-mata untuk mengalih perhatian ramai daripada kekalahan tentera AS.
“Kami juga meminta media Afghanistan berhenti menyebarkan penipuan media Barat dengan menjadi penterjemah,” kata kenyataan itu. - AFP
No comments:
Post a Comment