Wednesday, August 11, 2010

Jawi tak mahu program tazkirah disalah guna

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan program tazkirah kepada masjid dan surau sepanjang Ramadan, namun mengingatkan ia tidak wajar disalah guna sebagai pentas menabur fitnah, membuat tuduhan dan bercerita mengenai politik.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, berkata imam dan penceramah yang ditugaskan dalam program tazkirah terbabit sepatutnya menekankan aspek kelebihan beramal ibadat dan kemuliaan Ramadan.
Menurutnya, perbuatan mengata dan menuduh pada kesempatan yang diberikan untuk mengadakan tazkirah dilarang sama sekali kerana ia bukan saja memecah belah perpaduan, malah mencemarkan kesucian masjid dan bulan terbabit.

“Kami mengharuskan program tazkirah yang menumpukan kepada fadilat amal ibadat dan kelebihan Ramadan, tetapi jangan dibuat di antara solat Tarawih kerana tidak mahu mengganggu perjalanan solat terbabit,” katanya.

Katanya, beliau menafikan dakwaan yang mengatakan Jawi mengharamkan program tazkirah sepanjang Ramadan.

“Mereka boleh bertazkirah, tetapi pastikan ianya selepas tarawih dan kami juga mensyaratkan mereka yang memberikan tazkirah itu mestilah individu yang mendapat tauliah daripada Jawi,” katanya.

No comments:

Post a Comment