Thursday, September 30, 2010

Lee Kuan Yew masuk hospital kena jangkitan paru-paru





2010/09/30

SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (atas), dimasukkan ke hospital lewat semalam bagi mendapatkan rawatan untuk jangkitan paru-paru, lapor media tempatan. 

Stesen Channel NewsAsia berkata, negarawan berusia 87 tahun itu sepatutnya hadir pada upacara memperingati Balaji Sadasivan, seorang menteri kanan kerajaan, yang meninggal dunia Isnin lalu, tetapi sebaliknya beliau dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Menteri Mentor Lee Kuan Yew bercadang untuk menghadiri upacara bagi memperingati Dr Balaji petang ini, tetapi doktor di SGH mahukan beliau masuk wad untuk menjalani rawatan bagi jangkitan paru-paru, kata satu kenyataan ringkas setiausaha akhbarnya, Yeong Yoon Ying, yang disiarkan dalam laman web stesen penyiar berkenaan.
Lee adalah perdana menteri pertama Singapura dan dikenali kerana berjaya mengubah negeri kota berkenaan daripada sebuah pelabuhan dunia ketiga kepada salah sebuah negara terkaya di Asia dalam tempoh 30 tahun. 

Beliau meletakkan jawatan pada 1990 tetapi terus memainkan peranan sebagai penasihat berpengaruh dalam kerajaan. 

Beliau memegang jawatan Menteri Mentor dalam Kabinet anak lelakinya, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong. 

Lee menyampaikan ucapan pada forum perniagaan Russia-Singapura kelmarin. Akhbar Straits Times Singapura berkata Lee mendapat rawatan fisioterapi awal kelmarin di sebuah hospital selepas terjatuh Isnin lalu. 
Pada September tahun lalu, Lee menjalani rawatan denyutan jantung tidak normal dengan jayanya. 

Dalam temu ramah dengan New York Times awal bulan ini, Lee Kuan Yew berkata beliau mulai merasai kesan peningkatan umur tetapi boleh menerimanya. AFP/AP

No comments:

Post a Comment