Oleh Paya Linda Yahya
2010/09/30
KOTA BHARU: Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Kelantan, Abdullah Man, dijangka menghadap bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, 30 Oktober ini bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan baginda melafazkan talak terhadap isteri kedua, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31. Sumber memberitahu, pertemuan itu juga adalah untuk mendapatkan pengesahan berhubung surat titah didakwa dikeluarkan baginda supaya perceraian itu didaftarkan seperti dikemukakan Datin Nik Rorhana Abdul Rahman, 60.
Berdasarkan maklumat diperoleh, sudah ditetapkan pada 30 Oktober ini, hakim akan bertemu dengan ayahanda Sultan Kelantan sekarang bagi mendapatkan pengesahan cerai terhadap Cik Puan Elia Suhana.
Saya tidak pasti pada jam berapa pertemuan itu akan diadakan dan difahamkan hanya hakim akan bertemu dengan Tuanku Ismail Petra, katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam prosiding sebelum ini, Abdullah memutuskan beliau sendiri akan bertemu dengan bekas Sultan Kelantan, bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan baginda melafazkan talak terhadap isteri kedua serta surat titah yang didakwa dikeluarkan baginda supaya perceraian itu didaftarkan.
Abdullah dilaporkan berkata demikian selepas prosiding pengesahan cerai talak tiga didakwa dilafazkan Tuanku Ismail Petra terhadap isteri kedua baginda awal Ogos lalu.
Dalam kes berkenaan, Elia Suhana sebagai defendan diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan manakala Nik Rorhana oleh peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar.
Mengulas lanjut, sumber berkata, segala urusan mengenai pertemuan antara hakim dengan bekas Sultan Kelantan akan diuruskan oleh mahkamah sendiri.
No comments:
Post a Comment