Thursday, September 30, 2010

'Kami mahu keadilan'

PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri yang kematian anak berusia sembilan bulan pada 20 September lalu, dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan di pusat asuhan di Presint 18, di sini, mahu pengusaha pusat yang tidak berdaftar itu dikenakan tindakan tanpa mengira ‘bulu’ walaupun dia anak seorang kenamaan bergelar ‘Datuk’.


SEDIH...Shahrul Nizam dan Mazliana bersama anak sulung menunjukkan gambar Noramirah.
SEDIH...Shahrul Nizam dan Mazliana bersama anak sulung menunjukkan gambar Noramirah.

Pasangan terbabit, Shahrul Nizam Reihan, 36, dan isterinya, Mazliana Nordin, 27, masih trauma apabila ‘kehilangan’ anak kesayangan Noramirah sembilan bulan, dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaaan pusat asuhan terbabit.

Bukan itu saja, pasangan terbabit kecewa kerana tidak ada sebarang tindakan tegas terhadap pengusaha pusat berkenaan walaupun insiden sama membabitkan bayi tersedak susu pernah berlaku pada Julai tahun lalu.

“Saya hairan mengapa tidak ada sebarang tindakan dilakukan walaupun kejadian sama pernah berlaku di pusat itu tahun lalu.

“Saya tidak tahu sama ada ia ada kaitan dengan pengusaha terbabit sebagai anak kepada seorang kenamaan menyebabkanya ‘kebal’ sehingga tidak ada sesiapa berani tampil bertindak terhadapnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Presint 9, semalam.

Difahamkan, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah mendapatkan maklumat berkaitan insiden berkenaan daripada Mazliana, pagi semalam.
Shahrul berkata, dia bukan mahu menimbulkan sebarang masalah, tetapi mahu keadilan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang membabitkan ibu bapa yang masih menghantar anak mereka di pusat asuhan berkenaan.

“Saya difahamkan, pusat asuhan itu hanya mempunyai tiga pengasuh bagi melayani kanak-kanak berusia antara dua bulan hingga empat tahun,” katanya yang membayar RM600 bagi dua anaknya yang dihantar ke pusat itu sebelum ini.
Malah, katanya dia juga mengakui sebelum kejadian itu, pengasuh hanya membenarkan ibu bapa menghantar anak di depan pintu masuk saja dengan alasan ia adalah peraturan yang ditetapkan dan perlu dipatuhi ibu bapa.

Shahrul berkata, dia masih berbincang dengan keluarga bagi mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya menghantar anak saya ke pusat asuhan ini kerana diberitahu ia adalah antara pusat asuhan terbaik di Putrajaya tanpa menyedari ia pusat yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Tanpa berselindung, Shahrul berkata, dia berharap tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pengusaha pusat berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang kepada ibu bapa yang masih menghantar anak mereka ke pusat tidak berdaftar itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr Maamor Osman, berkata tindakan bersepadu perlu dilakukan bagi memastikan tindakan terhadap pengusaha pusat asuhan yang degil bagi mendaftarkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, isu pusat asuhan tidak berdaftar memang pernah menjadi perbincangan ‘hangat’ satu ketika dulu, tetapi ia masih sukar untuk ditangani, walaupun membabitkan kematian bayi atau kanak-kanak yang dihantar di pusat berkenaan.

“Jangan biarkan pusat ini beroperasi tanpa kawalan pihak berkuasa kerana ia boleh membahayakan penghuni yang kebanyakan kanak-kanak yang dijaga di pusat berkenaan.

“Undang-undang sedia ada yang diperuntukkan mengikut Seksyen 6, Akta Pusat Asuhan Kanak-kanak 1984 perlu dikuatkuasakan tanpa memilih bulu,” katanya, semalam.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa perlu memastikan pengusaha dan pengasuh di pusat asuhan memiliki kelayakan sepatutnya sebelum dibenarkan membuka pusat asuhan itu bagi mengelak ada nyawa yang melayang berikutan kecuaian mereka.

Katanya, ibu bapa juga perlu menyiasat pusat asuhan itu sama ada berdaftar atau tidak bagi mengelak mereka menyerah ‘nyawa’ anak mereka untuk dijaga oleh pengasuh yang sifar asas penjagaan kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment