Thursday, September 30, 2010

Dua Ahli Parlimen bebas Australia tunjuk taring





2010/09/30

CANBERRA: Dua Ahli Parlimen bebas penyokong kerajaan di Australia semalam membuat kejutan apabila mengundi memihak kepada pembangkang, menyebabkan kerajaan minoriti Perdana Menteri, Julia Gillard tewas dalam satu undian yang diadakan di Parlimen. 

Kerajaan parti Buruh pimpinan Gillard memerlukan sokongan daripada ketiga-tiga Ahli Parlimen bebas dan seorang Ahli Parlimen daripada Parti Green bagi membolehkannya memperoleh majoriti tipis di Dewan Perwakilan, berikutan pilihan raya umum 21 Ogos lalu.
Dalam menunjukkan autonomi politik mereka, kedua-dua wakil bebas itu yang memihak kepada Gillard sebelum ini bagi membolehkan beliau membentuk kerajaan, memihak pula dengan pihak konservatif semalam ketika undian dalam usul bagi meminda peraturan tatacara yang tidak jelas dibentangkan, menyebabkan parti Buruh tewas.
Ini kali pertama sejak 1941 apabila kerajaan ditewaskan ketika sidang di Dewan Perwakilan, kata pemimpin pembangkang, Tony Abbott. Parlimen kini bukan lagi tempat di mana wakilnya mengikut telunjuk pihak kerajaan. 

Dalam undian itu, parti Buruh memperoleh 72 sokongan berbanding 73, selepas wakil bebas, Rob Oakeshott dan Tony Windsor memihak kepada pembangkang, sekali gus menunjukkan pegangan kuasa Gillard tidak kuat dan beliau dijangka akan menghadapi kesukaran bagi melakukan pindaan lain yang lebih besar termasuk rang undang-undang bagi mengawal pengeluaran karbon dan cadangan mengenakan cukai berdasarkan keuntungan di kalangan pelombong. 

Abbott, yang berjanji akan cuba menumbangkan kerajaan Gillard di Parlimen, berkata undian tatacara itu membuktikan bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa penuh. 

Keputusan pilihan raya itu menyebabkan kerajaan tidak lagi menguasai sidang di Parlimen, kata Abbott. Reuters

No comments:

Post a Comment