Thursday, September 30, 2010

Rumah tidak siap 28 jadi mangsa




ALOR SETAR- Angan-angan 28 pembeli untuk menduduki rumah baru di Taman Seri Derga Fasa Tiga sejak setahun lalu musnah apabila menjadi mangsa rumah terbengkalai akibat ditipu oleh syarikat pemaju yang tidak menyiapkan rumah tersebut. 

Pembeli, Khairul Mohd Salleh, 32, berkata, rumah yang dijual dengan harga lingkungan RM135,000 hingga RM148,000 itu dibelinya pada tahun 2008 dan ia dijangka siap pada September 2009. 

Menurutnya, pemaju yang sering menangguhkan janji mereka terhadap pembeli itu sering memberikan pelbagai alasan termasuk duit tidak mencukupi dan keadaan cuaca tidak menentu faktor rumah tidak dapat disiapkan. 

“Pemaju hanya menyiapkan 45 peratus sahaja pembinaan rumah dan apabila ditanya bilakah rumah ini bakal siap, mereka memberi pelbagai helah. 

“Akibat pembinaan yang tertangguh ini, kawasan perumahan dijadikan sebagai sarang penagih dadah dan paip serta kabel elektrik yang dipasang telah dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya. 

Khairul berkata, aduan kepada Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) akan dikemukakan terhadap pemaju yang tidak mematuhi perjanjian yang telah ditetapkan bagi mendapat hak pembeli sebagai pengguna. 

Bagi seorang kakitangan kerajaan, Sauadah Shafie, 49, berkata, akibat sikap tidak menepati janji oleh pemaju dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM25,000 bagi urusan pembelian. 

Menurutnya, dia juga pernah pergi ke pejabat pemaju yang terletak di Komplek Alor Setar namun telah ditutup hampir dua bulan. 

“Pemaju bukan sahaja gagal menyiapkan rumah malahan jalan masuk ke kawasan taman juga tidak dibuat sedangkan mereka janji akan menyediakan kemudahan jalan yang lebih selesa. 

“Aduan kepada Jabatan Perumahan Negara juga telah dibuat sebanyak tiga kali terhadap pemaju yang kini gagal untuk dihubungi,” katanya. 

Lebih menyedihkan apabila ada kalangan rumah pembeli yang langsung tidak dibina dan masih dalam keadaan dipenuhi semak. 

Amran Ayob, 32, berkata, dia terkejut apabila melihat tapak rumah yang dijanjikan oleh pemaju itu masih lagi dikelilingi dengan lalang dan rumput. 

“Pemaju juga ada menawarkan rumah di bahagian hadapan apabila saya bertanyakan mengenai status rumah yang belum dibina namun saya menolak tawaran yang mereka berikan. 

“Jadi, saya akan berbincang mengenai perkara ini lebih lanjut bersama keluarga dan sekiranya perlu saya bercadang untuk membatalkan perjanjian pembelian rumah di sini,” katanya. 

Sementara itu, cubaan Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas daripada syarikat pemaju tidak berjaya apabila mereka gagal dihubungi.

No comments:

Post a Comment