Saturday, October 16, 2010

3 mohon bantuan tangan, kaki palsu

KUALA LUMPUR: “Saya perlu membesarkan anak dan bekerja keras agar mereka dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi supaya tidak menjadi seperti saya, tetapi keadaan diri membantutkan segala-galanya,” luah Kamal anak Mihad, 29, yang memerlukan tangan palsu bagi memudahkan pergerakannya.
Menurutnya, kehilangan tangan kanan sejak kecil tidak pernah mematahkan semangatnya, malah dia turut bersyukur mempunyai isteri yang sudi menerima keadaan dirinya sehingga kini.
Dikurniakan enam cahaya mata, Kamal berharap dengan memiliki tangan palsu dia dapat melakukan urusan kerja dengan lebih mudah.

“Dua anak yang masih bersekolah juga memerlukan belanja dan saya bersyukur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudi menghulurkan bantuan bulanan, walaupun tidak banyak namun ia dapatlah digunakan belanja anak,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini, semalam.

Kamal memerlukan RM7,900 bagi membeli tangan palsu. Dia selama ini berasa tidak selesa dengan kekurangan yang dimiliki sehingga membantutkan segala urusannya.

Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Izwan Mustapa, 10, yang memerlukan bantuan RM6,800 untuk membeli kaki palsu berkata kenangan bermain mesin jentolak pada awal tahun lalu benar-benar meninggalkan kenangan pahit dalam hidupnya apabila dia kehilangan kaki kanan.

Seorang lagi pemohon, Mohammad Firdaus Mohammad Hadz’romi, 14, memerlukan tangan palsu bernilai RM8,500 dan berharap dengan tangan yang dimiliki dia dapat ke sekolah seperti remaja biasa lain.

Orang ramai yang mahu menderma boleh menghantar cek dengan menulis nama pesakit di belakangnya dan dialamatkan ke Bahagian Kewangan/Unit kebajikan, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-22823131 sambungan 6659.
sumber

No comments:

Post a Comment