Saturday, October 16, 2010

Mangsa ribut mahu bantuan

sumber

Nordin Mohd. Idrus bersama ahli keluarga terpaksa duduk di luar bagi berteduh daripada hujan dan panas di Kampung Galok Kecil, Kuala Krau, semalam.


KUALA KRAU 15 Okt - Sebahagian daripada mangsa ribut yang rumah mereka ranap dalam kejadian itu di sini bulan lalu mendakwa masih belum menerima bantuan untuk membaiki kediaman masing-masing.
Mereka mendakwa, meskipun mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang meninjau keadaan mangsa ribut itu, namun sehingga kini belum ada tanda-tanda bantuan disalurkan.
Sehubungan itu, mereka mahu bantuan tersebut disegerakan bagi mengurangkan kesulitan yang dialami mangsa dan ahli keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Galok Kecil, Nordin Mohd. Idrus, 70, yang juga merupakan mangsa ribut berkata, kejadian itu berlaku pada bulan lalu dan seharusnya rumahnya telah dibaiki.
''Kami hanya minta supaya bantuan itu disegerakan kerana kasihan pada anak dan cucu saya yang terpaksa berteduh di luar rumah pada siang hari dan sukar untuk mereka mengulang kaji pelajaran.
''Kami juga terpaksa membina bangsal atau khemah bagi tujuan memasak. Kami terasa sangat susah jika tiada rumah sebagai tempat untuk berteduh daripada panas dan hujan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian 21 September lalu, satu keluarga seramai 18 orang yang baru selesai mengadakan kenduri arwah terselamat apabila sebatang pokok menghempap rumah mereka dalam kejadian ribut yang melanda 22 kampung di daerah ini.
Selain rumah Nordin, dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, 51 rumah lagi turut rosak teruk dilanda ribut berkenaan.
Nordin yang juga Ketua UMNO Cawangan Kampung Galok berkata, pihaknya berharap perkara itu diambil serius oleh pihak berkenaan.
''Saya ada 14 anak dan jika mereka pulang ke kampung, mereka terpaksa tidur dalam kereta. Saya sedih melihat mereka namun apa boleh saya lakukan. Saya cuma harap masalah kami ini mendapat perhatian segera.
''Paling menyedihkan apabila hari berangin atau tanda mahu hujan, cucu-cucu saya ini akan menangis kerana masih fobia dengan peristiwa hitam yang berlaku secara tiba-tiba itu," jelasnya.
Seorang lagi mangsa warga emas, Jalil Kadir, 79, dari Kampung Pulau Pasir Mandi, berkata, dengan keadaan usianya yang lanjut, sudah tentu tidak mampu untuk membaiki rumahnya itu dan terpaksa membiarkan bumbungnya terlopong.
Katanya, jika hujan, air masuk ke dalam rumahnya itu dan bimbang papan akan menjadi reput akibat panas matahari dan hujan yang silih berganti.
''Jika cucu-cucu saya balik, pasti kami tidak membenarkan mereka bermain di ruang tamu itu kerana sangat bahaya. Kami harap bantuan itu disegerakan kerana kami kini berasa susah hati," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr. Sallehuddin Ishak ketika dihubungi berkata, pihaknya memahami masalah yang dihadapi semua mangsa ribut terutama rumah yang ranap dalam kejadian itu.
Katanya, pihaknya sedaya upaya membantu mangsa terbabit yang masih belum menerima peruntukan untuk membaiki kesemua rumah mangsa tersebut.
''Pihak pejabat daerah sedang berusaha bertungkus-lumus membantu mangsa ini namun peruntukan belum diterima. Kami harap mangsa ini dapat bersabar dalam sedikit masa lagi," katanya.
Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, pihaknya juga dalam usaha membantu mendapatkan bantuan itu segera dan harap keluarga mangsa bersabar.
''Dalam kejadian ribut itu, sebanyak enam rumah dilaporkan ranap dan pastinya ia memerlukan kos yang tinggi bagi membaiki kesemua rumah mangsa terbabit.
''Pihak saya bersama Pejabat Daerah Temerloh sedang berusaha mempercepatkan bantuan kerana memahami kesulitan yang mereka hadapi," katanya.

No comments:

Post a Comment