MAKKAH: Walaupun pekerjaan menolak jemaah warga tua dan kurang upaya dengan kerusi roda bukan pekerjaan yang hebat tetapi sesetengah rakyat Saudi di Makkah menganggap ia pekerjaan halal untuk menyara kehidupan mereka dan keluarga masing-masing.
Berpusat di bawah Jambatan Misfala di tengah bendaraya Makkah, golongan ini mengenakan kadar bayaran yang rendah untuk membantu jemaah warga emas ke Masjidil Haram. Mereka tidur dan menukar pakaian di bawah jambatan, selain meminum air daripada bekas air minuman di jalan raya serta menggunakan bilik air di Masjidil Haram. “Saya tinggal di bawah jambatan ini sejak tiga tahun lalu,” kata warga Saudi, Saad Hussein, 38. Saya terpaksa tinggal di sini kerana tidak mempunyai pekerjaan. Kelulusan yang saya miliki setakat sijil sekolah rendah,” tambahnya yang memilih pekerjaan itu daripada hidup menganggur dan tidak kisah pandangan orang lain terhadapnya. “Hidup di bawah jambatan sangat susah. Saya tidak dapat banyak dan jarang sekali memperoleh 100 riyal (RM82) sehari. Saya juga berasa malu melakukan pekerjaan ini tetapi ia lebih baik daripada mencuri. Saya juga lihat ramai warga Saudi melakukan kerja seperti saya. Kami tinggal bersama di bawah jambatan pada waktu malam dan mencari wang pada waktu siang,” katanya lagi. Muhammad Al-Araaj, 49, pula sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak. Dia tinggal di kediaman usang dengan sewa 1,200 riyal (RM987) sebulan.
“Saya tidak mampu mendapatkan pekerjaan yang baik, jadi saya membeli kerusi roda untuk menyara hidup seperti ini,” kata Muhammad. “Saya membantu jemaah dan pelawat warga emas. Oleh kerana saya tidak dapat mengumpul banyak wang dan pekerjaan ini kurang terjamin, maka saya bekerja siang dan malam supaya dapat cukup wang untuk menyara keluarga dan membayar sewa rumah,” ujar Muhammad.
Bagi memudahkan urusan kerjanya, Muhammad terpaksa tinggal di bawah jambatan jauh dari rumah.
“Saya pulang melihat keluarga seminggu sekali. Semua orang yang tinggal di bawah jambatan ini punya kisah sedih tersendiri. Kebanyakannya mempunyai keluarga untuk disara,” tambah Muhammad memberitahu dia mampu mengumpul 40 (RM32) hingga 50 riyal (RM41) sehari dan 250 (RM205) hingga 400 riyal (RM328) ketika musim haji dan umrah. - Agensi
sumber
No comments:
Post a Comment