BANTING: Sambil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia, dua pekerja ladang mengaku mengangkat, membakar dan membuang abu mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; pemandunya, Kamaruddin Shamsudin; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad.
BERSALAH...Sarawanan (kiri) dan Suresh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, semalam.
BUKTI...kenderaan yang digunakan untuk mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa dibawa ke mahkamah, semalam.
Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun kepada kedua-dua tertuduh bagi empat pertuduhan itu dan memerintahkan ia berjalan serentak mulai tarikh mereka ditangkap iaitu 9 September lalu.
Ketika diberi peluang bercakap, Sarawanan dan Suresh dengan nada perlahan dalam bahasa Tamil memohon maaf terhadap perbuatan mereka sebelum diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah.
“Saya memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat atas perbuatan saya. Saya sudah insaf,” kata kedua-dua tertuduh.
Sarawanan didakwa menghilangkan bukti yang menjadi satu kesalahan serius dengan sengaja membakar mayat keempat-empat mangsa dengan niat untuk mengelakkan N Pathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan daripada seksaan undang-undang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, pada jam 9.45 malam hingga jam 12 tengah malam, 30 Ogos lalu.
Berdasarkan fakta kes, Sarawanan didakwa melihat keempat-empat mangsa dibunuh Thilaiyalagan. Dia diarahkan Thilaiyalagan dan Matan untuk mengambil petrol dan diesel yang diletakkan di hadapan sebuah rumah pekerja ladang.
Tertuduh kemudian membawa dua tong putih dan menyerahkan kepada Thilaiyalagan dan Matan sebelum ketiga-tiga mereka mengangkat mayat semua mangsa untuk diletakkan di atas longgokan kayu yang sudah disusun.
Ketiga-tiga mereka juga menyusun kayu di atas keempat-empat mangsa sebelum mencurahkan minyak. Tertuduh bersama Matan membakar semua mayat itu.
Suresh pula didakwa menghilangkan bukti berkaitan kesalahan tertuduh utama dengan sengaja membuang abu mayat keempat-empat mangsa ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting, pada masa dan tarikh sama, juga bagi mengelakkan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan, dan Kathavarayan daripada seksaan undang-undang.
Berdasarkan fakta kes juga, ketika kejadian, Suresh yang berada di ladang milik Pathmanabhan didakwa melihat Thilaiyagan dan Matan memungut sesuatu di tempat pembakaran berhampiran pondok di ladang itu dan memasukkannya ke dalam tong biru.
Suresh bertanya kepada Thilaiyagan serta Matan dan diberitahu ia berisi abu mayat empat mangsa yang mereka bunuh dan bakar pada malam kejadian.
Pekerja ladang itu mendakwa melihat Kathavarayan membawa sebuah kenderaan pikap Isuzu D-Max ke tempat abu mayat itu dipungut. Setibanya di situ, Thilaiyagan dan Matan mengangkat tong biru yang mengandungi abu mayat ke dalam kenderaan berkenaan.
Selepas itu, dia bersama Thilaiyagan dan Kathavarayan pergi ke Sungai Panchau, untuk membuang abu mayat itu. Kathavarayan mencurah abu mayat itu ke dalam sungai bersama tong sekali.
Selepas selesai kerja pembuangan abu mayat pada jam 10 pagi, dia bersama Thilaiyagan dan Kathavarayan pulang semula ke ladang itu.
Suresh dan Thilaiyagan kemudian diarahkan Kathavarayan untuk membersihkan tempat pembakaran dengan membuang semua sisa kayu dan kepingan zink ke dalam lori sebelum membuang sisa kayu di tempat pembuangan sampah Sungai Arak, Kampung Kelanang, Banting manakala kepingan zink dibuang ke dalam sungai kampung itu.
Ketiga-tiga mereka balik semula ke ladang dan membuat kerja seperti biasa.
Bagi semua perbuatan itu, Sarawanan dan Suresh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sebuah kenderaan Isuzu D-Max berwarna kelabu yang digunakan untuk mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa sebelum dibuang ke dalam Sungai Panchau turut dibawa ke mahkamah sebagai barang bukti kes dan prosiding ditangguhkan seketika bagi membolehkan majistret, pihak pendakwaan dan pembelaan melihat kenderaan itu.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff dan dibantu Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abdul Ghani.
Sarawanan dan Suresh diwakili peguam M Puravelan, Mohd Naguib Abdul Malik dan Roslie Sulie.
Roslie ketika berhujah bagi pihak Sarawanan memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya menanggung beban keluarga dengan menyara bapa yang menghidap sakit jantung serta ibunya yang hanya seorang suri rumah.
Menurutnya, Sarawanan tidak mempunyai kesalahan lampau dan pengakuan anak guamnya perlu diambil kira kerana ia menjimatkan masa mahkamah.
Sementara itu, Mohd Naguib dalam rayuan bagi meringankan hukuman terhadap Suresh berkata, anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menyara adik serta menjaga ibunya yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan alahan kepada ubat.
Ishak dalam hujahnya membantah hukuman ringan dan memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum tanpa memberi diskaun kepada semua tertuduh selain meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang berjalan secara berasingan.
Menurutnya, hukuman maksimum perlu bagi memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh, tetapi memberi peringatan kepada orang lain.
Rabu lalu, peguam Pathmanabhan, 41, didakwa bersama-sama Thilaiyalagan, 19, Matan, 20 dan Kathavarayan, 30, membunuh Sosilawati, 47.
Selain itu, keempat-empat tertuduh turut didakwa membunuh pemandu wanita itu, Kamaruddin, 44; peguam, Ahmad Kamil, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham, 38.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Disember ini.
No comments:
Post a Comment