Saturday, October 16, 2010

Ibrahim Ali dirawat di Hospital Ampang Puteri kerana masalah jantung

sumber
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini kerana masalah jantung.
Timbalan Presiden Pertubuhan Hak Melayu (Perkasa), Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata, Ibrahim dimasukkan ke hospital itu semalam dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Keadaannya stabil dan beliau dijadualkan menjalani pembedahan jantung pada Isnin ini," katanya ketika dihubungi, Bernama di sini hari ini.

Ibrahim, 57, yang juga Presiden Perkasa adalah wakil Bebas di Parlimen.

Abdul Rahman berkata, pihak hospital hanya membenarkan isteri dan anggota keluarga untuk melawat Ibrahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ibrahim mengadu berasa tidak sihat sejak tiga minggu lalu, namun hanya membuat pemeriksaan kesihatan di hospital itu semalam.

"Selepas membuat pemeriksaan, doktor menasihatkan beliau supaya segera membuat pembedahan," katanya.

Abdul Rahman berkata walaupun mengetahui keadaan kesihatannya itu, Ibrahim masih ke Parlimen semalam untuk menghadiri pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Ibrahim sepatutnya menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Nusantara yang akan disertai masyarakat Melayu Malaysia dan warga Indonesia yang menetap di Malaysia, di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, petang ini.

Abdul Rahman berkata, Perkasa akan mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yassin di surau Hotel De Palma Ampang pada 6.30 petang esok bagi mendoakan kesejahteraan presiden persatuan itu.- Bernama

No comments:

Post a Comment