Saturday, October 2, 2010

Akta kebebasan media dikaji semula





2010/10/02

PUTRAJAYA: Undang-undang berkaitan kebebasan maklumat dan media sedang dikaji semula bagi menggubal inisiatif meningkatkan ketelusan, integriti dan kredibiliti laporan berita kepada masyarakat umum. 

Pengarah Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) - Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata semua akta membabitkan media dikaji semula.
“Kita sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan pandangan berhubung perkara ini.
“Kebebasan dan ketelusan laporan berita memang menjadi keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memperkasakan media disamping memastikan pengamal media tempatan bebas dari unsur rasuah,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini semalam. 

Katanya, takrifan media bebas adalah subjektif dan NKRA Rasuah memerlukan maklumat yang cukup dan tepat dari pihak yang berkaitan sebelum inisiatif mengenainya dapat dirangka dan digubal. 

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohamed Hata Wahari, berkata langkah mengkaji semula undang-undang berkaitan laporan berita perlu dilakukan bagi memajukan industri media. 

“NUJ mengalu-alukan langkah berkenaan kerana ia akan membantu media menjadi lebih maju melaporkan berita dan berkongsi pendapat dengan orang ramai. Media bebas penting untuk negara kerana ia antara faktor menarik minat pelabur asing di samping menjadi unsur pengimbang sosial rakyat Malaysia,” katanya. 
Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Seri Azman Ujang pula berkata, inisiatif berkaitan kebebasan media harus diwujudkan supaya media tempatan kekal dinamik dan relevan. 

“Kita kena kaji semula undang-undang media jika ia mendatangkan keuntungan ekonomi kerana pelabur sentiasa melihat tahap kebebasan media sesebuah negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment