Saturday, October 2, 2010

Kg. Jalan Pokok Asam bakal diroboh





PULAU PINANG 1 Okt. - Penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong di sini gagal mempertahankan rumah masing-masing daripada dirobohkan pemaju.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak untuk melanjutkan tempoh penangguhan pelaksanaan arahan pengosongan dan merobohkan rumah mereka oleh pemaju.
Hakim Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian pada prosiding pukul 9.30 pagi ini yang hanya dihadiri oleh peguam dari firma guaman, Tetuan Kwang Lim & Azmi yang mewakili pihak pemaju, Mission Fairway Sdn. Bhd.
Keputusan itu dibuat hakim berkenaan selepas dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Mission Fairway selaku pihak plaintif bahawa peguam yang mewakili penduduk kampung tersebut, Nasrul Omar tidak hadir dan gagal dihubungi.
''Saya cuba hubungi telefon bimbit peguam defendan tetapi tiada nada dering.
''Saya juga cuba hubungi pejabatnya, kedengaran seolah-olah talian sudah dipotong, tidak aktif lagi,'' kata peguam tersebut yang enggan namanya dikenali.
Sepanjang prosiding itu juga, tiada seorang pun kelibat penduduk Kampung Jalan Pokok Asam kelihatan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Jelutong, Mohamed Yusoff Mohamed Noor ketika dihubungi memberitahu, kerajaan negeri telah berjanji untuk membela nasib penduduk.
''Setakat ini tiada keputusan mutlak secara hitam-putih bentuk pampasan yang kerajaan negeri akan beri kepada penduduk.
''Apa pun, kita akan usahakan untuk memindahkan mereka di sekitar kawasan ini,'' ujarnya.
Pada 30 Jun lalu, kira-kira 200 penduduk di Kampung Jalan Pokok Asam hampir diusir pemaju yang membawa bersama jentolak untuk merobohkan rumah-rumah di kawasan itu.
Bagaimanapun, selepas perbincangan bersama beberapa penduduk dengan pihak pemaju yang diwakili oleh seorang peguam, tempoh pengosongan kampung itu ditangguhkan.
Mahkamah Sesyen juga membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan arahan pengosongan itu sehingga hari ini bagi membolehkan pemaju dan penduduk mencari jalan penyelesaian.
Difahamkan, kampung berkenaan yang berusia kira-kira 100 tahun akan dibangunkan dengan projek kediaman bertingkat dengan kos lebih RM800,000 sebuah oleh pemaju dari Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment