Saturday, October 2, 2010

Tindakan pulang wang RM100 bukan lakonan





2010/10/02

Saidin Chik
Saidin Chik
KEPALA BATAS: “Takkanlah saya seorang imam sanggup berbuat sedemikian (berlakon). Wajarkah saya lakukannya demi RM100 yang tidak berbaloi dengan ibadat saya selama ini? Saya tidak mahu bersubahat dalam hal ini.” 

Kenyataan itu dibuat Imam Masjid Kampung Pulau Mertajam, Penaga, Saidin Chik, 72, yang kecewa dengan dakwaan kerajaan negeri kononnya beliau dan beberapa lagi penerima sumbangan kerajaan itu, bersandiwara dengan mengembalikan wang itu.
Saidin menjadi imam masjid sejak 17 tahun lalu, kesal dengan tuduhan kerajaan negeri yang mendakwa mereka bertindak selepas didesak pihak tertentu.
“Kami tidak pernah diarahkan mana-mana pihak untuk mengembalikan wang itu. Kami buat dengan seikhlas hati selepas tidak yakin dengan sumber duit berkenaan,” katanya ketika ditemui, semalam. 

Kelmarin, kerajaan Pulau Pinang menganggap tindakan warga tua dan miskin tegar menyerahkan kembali wang RM100 yang diterima daripada kerajaan negeri yang dikatakan diperoleh hasil sumber judi, hanya sebagai sandiwara untuk mencemarkan imej golongan terbabit. 

Kenyataan itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim, selepas 40 penerima wang dari Parlimen Kepala Batas, mengembalikan duit berkenaan. 
Mereka bertindak demikian kerana kesal dan marah terhadap tindakan kerajaan negeri, yang menggunakan sebahagian dana diterima daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda, untuk diagihkan kepada rakyat. 
Seorang lagi penerima wang itu, Md Nor Awang, 70, berkata tuduhan kerajaan negeri bahawa mereka berlakon adalah tidak berasas sama sekali kerana mereka benar-benar mahu menyerahkan kembali wang berkenaan selepas merasa ragu-ragu. 

"Siapa kata kami berlakon? Ia tidak betul sama sekali kerana kami benar-benar ikhlas ketika melakukannya, bukan sebaliknya. Saya juga nak bagi tahu, tiada desakan oleh pihak lain supaya kami menyerahkan kembali RM100 itu," katanya. 

Setiausaha UMNO Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, berkata pihaknya tidak pernah memaksa mana-mana penerima sumbangan itu supaya mengembalikan semula wang seperti didakwa pelbagai pihak.

No comments:

Post a Comment