SITUASI di Indonesia kini semakin mencengkam. Untuk berjalan-jalan di kota Jakarta sahaja orang ramai perlu berhati-hati dan sering mendengar atau menonton berita terkini supaya tidak terjebak dalam kejadian ganas.
Pergaduhan kumpulan samseng, perang di antara etnik, pergaduhan di antara penonton bola sepak, tunjuk perasaan yang ganas dan sebagainya sering berlaku di mana-mana sahaja.
Bagi rakyat asing yang tinggal di Jakarta, penulis dan rakan-rakan memang mempunyai kumpulan di dalam Blackberry Messenger untuk mengingatkan serta memberi amaran jika berlaku sebarang kekecohan.
Ia bertujuan supaya rakyat Malaysia mengelak daripada pergi ke kawasan berkenaan dan terperangkap dalam kejadian yang biasa menumpahkan darah.
Kadang kala maklumat yang diberi memang tepat, kadang kala ia adalah khabar angin, tetapi setiap maklumat tidak boleh diambil mudah kerana risikonya adalah nyawa.
Contohnya pada Rabu lalu ketika penulis dalam perjalanan untuk membuat liputan pelancaran 'soundtrack' Upin dan Ipin yang dihasilkan oleh kumpulan Padi, penulis mendapat mesej supaya mengelak daripada memasuki Jalan Ampera kerana berlaku pergaduhan kumpulan samseng Ambon dan Flores.
Ratusan orang bersenjatakan pedang, parang dan pistol dari kumpulan Hercules dan John Kei bertembung di tengah-tengah jalan di hadapan Mahkamah Jakarta Selatan.
Dalam kejadian itu tiga orang terbunuh dan keadaan mengerikan dengan tangan dipenggal, ada juga yang kepala pecah. Ketua Polis Daerah Jakarta Selatan juga cedera di kaki akibat terkena peluru sesat.
Polis pencegah rusuhan yang bersenjatakan perisai dan belantan tidak dapat menyuraikan perang dua kumpulan, apatah lagi orang ramai, pastinya bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Itu pergaduhan di Jakarta. Sebenarnya ada lagi pergaduhan yang lebih serius yang berlaku di Tarakan yang terletak kira-kira 100 kilometer dari sempadan Malaysia iaitu di Sabah.
Setakat ini sebanyak lima orang terbunuh dan pergaduhan itu melibatkan penduduk tempatan iaitu dari kaum Tidung dengan kaum pendatang iaitu kaum Bugis yang berpunca daripada seorang pemimpin masyarakat terbunuh dalam pergaduhan dengan orang Bugis.
Penduduk tempatan bersenjata parang, pedang dan tombak menguasai kawasan berkenaan dan mereka membakar rumah orang Bugis. Orang ramai yang ketakutan kini terpaksa bermalam di balai-balai polis.
Setakat ini satu batalion tentera telah dihantar kawasan konflik tersebut yang terkenal dengan perlombongan arang batu.
Itu belum lagi tindakan kelompok kecil seperti Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) dan kumpulan mahasiswa yang masih mengadakan demonstrasi dan gerakan mengusir rakyat Malaysia.
Walaupun tidak mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan, tetapi aktiviti sedemikian terus berlaku dari semasa ke semasa di pelbagai kawasan.
Di Sumatera Utara pula sekelompok lelaki bersenjatakan mesingan Ak-47 dan M-16 menyerbu Balai Polis Hamparan Perak dan menembak mati tiga anggota polis.
Tindakan itu dikatakan sebagai membalas dendam serbuan pasukan antipengganas, Densus 88 yang menembak mati tiga lelaki yang disyaki pengganas di Tanjung Balai.
Kelompok Islam pula kini semakin kurang tahap toleransinya sebagaimana berlaku di Tanjung Priok awal tahun ini di mana beberapa anggota penguat kuasa terbunuh ketika cuba memasuki kawasan kubur yang dikatakan keramat oleh penduduk setempat.
Bukan sahaja anggota penguat kuasa yang diserang, bahkan kenderaan milik pasukan itu juga dibakar sehingga menyebabkan mereka terpaksa bertempiaran lari menyelamatkan diri daripada amukan orang ramai.
Kegagalan pihak berkuasa melindungi masyarakat, menyebabkan kelompok-kelompok tersebut semakin berani dan mengambil tindakan sendiri. Senario sebegitu bukan lagi perkara baru di Indonesia.
Kadangkala terfikir oleh penulis apakah ini harga sebuah sistem yang dinamakan demokrasi, di mana semua orang mahu bebas menyuarakan pandangan dan mengambil tindakan. Pihak berkuasa pula takut untuk bertindak tegas kerana bakal dituduh melanggar hak asasi manusia.
Pihak tentera pula dilihat hanya mendiamkan diri setelah pemerintahan Orde Baru runtuh, yang menyaksikan Komando Pasukan Khusus (Kopasus) dituduh pelbagai kesalahan melanggar hak asasi manusia atau disebut HAM di Indonesia.
Inilah yang menjadi tanggungjawab berat Presiden Susilo Bambang Yudhoyono untuk mengembalikan keyakinan masyarakat bahawa keselamatan mereka terjamin.
Pada masa yang sama beliau juga perlu memastikan kestabilan politik tidak tergugat yang semakin hari semakin kuat digoncang kelompok yang mahu melihat beliau jatuh.
No comments:
Post a Comment