Saturday, October 2, 2010

Jangan sentuh soal sensitiviti kaum, agama



KUALA LUMPUR 1 Okt. - Kenyataan yang didakwa berbaur perkauman melibatkan segelintir pegawai awam tidak seharusnya dilihat sebagai pendirian kerajaan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, kerajaan memandang serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap pegawai awam yang didakwa menyentuh soal sensitiviti kaum dan agama.
"Kerajaan tidak akan membiarkan tindakan yang bertentangan dengan keharmonian kaum yang dipupuk selama ini terutama di kalangan pegawai awam yang merupakan golongan pelaksana dasar-dasar kerajaan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan ekoran arahan Kabinet yang meminta penyiasatan berhubung dakwaan kenyataan berbaur perkauman oleh Timbalan Pengarah Biro Tata Negara, Hamim Husin pada sesi tertutup dengan Pergerakan Puteri UMNO Isnin lalu.
Menurut Sidek, kerajaan juga akan berusaha membendung perbuatan tersebut yang boleh meruntuhkan kerukunan antara pelbagai kaum yang dinikmati selama ini.
"Ini termasuk mengenakan tindakan tatatertib sekiranya benar-benar didapati bersalah.
"Saya juga telah mengeluarkan Surat Pekeliling Am kepada semua Ketua Jabatan Kerajaan mengingatkan pegawai awam berhati-hati dan menghindari daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian," katanya
Menurut beliau, Ketua Jabatan akan mengambil tindakan segera dan tegas berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terhadap pegawai yang terbabit dengan pelanggaran peraturan itu.
"Tindakan secara pentadbiran menggantung pegawai awam yang didakwa mengeluarkan kenyataan sedemikian daripada tugasnya hendaklah juga diambil dengan serta-merta sementara menunggu siasatan lanjut.
"Langkah ini adalah untuk meredakan ketegangan yang mungkin timbul berikutan kenyataan yang berunsur hasutan yang didakwa dikeluarkan itu," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mahu orang ramai faham sebarang tindakan tatatertib ke atas pegawai awam perlu dibuat mengikut lunas undang-undang dan peraturan tatatertib yang diwartakan.
"Kerajaan tidak boleh tergesa-gesa mengenakan tindakan berdasarkan sesuatu dakwaan tanpa siasatan rapi serta mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
" Sebarang tindakan perlu dilaksanakan mengikut peraturan (peringkat demi peringkat) dan tempoh waktu seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang dan peraturan," ujarnya.
Menurut Sidek, langkah itu untuk memastikan tiada pihak yang dizalimi serta selaras dengan prinsip rule of law dan natural justice.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak menumpukan perhatian ke arah merealisasikan pelbagai program dan inisiatif yang telah dirancang kerajaan demi kemajuan dan kesejahteraan negara selaras menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
"Kita tidak harus membiarkan anasir-anasir negatif menghalang perjalanan kita ke sasaran yang telah kita tetapkan.
"Ini adalah masanya untuk setiap daripada kita sebagai ahli masyarakat menunjukkan sikap yang tenang dan bersabar serta mengelak daripada membuat sebarang kenyataan atau reaksi tidak rasional yang boleh mengeruhkan lagi keadaan," katanya

No comments:

Post a Comment