Tuesday, October 12, 2010

Polis nafi panggil CEO Malaysian Insider beri keterangan


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) portal berita propembangkang Malaysian Insider, Jahabar Sadiq yang didakwa terlibat dengan tiga pemimpin Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) dikhabarkan akan dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Pantai di sini hari ini.
Namun, Jahabar yang dikatakan diminta hadir pada pukul 12 tengah hari tidak muncul di balai polis tersebut sehingga pukul 1.30 petang itu.
Sekumpulan lima wartawan akhbar tempatan turut berada di hadapan balai tersebut sejak pukul 11 pagi bagi membuat liputan mengenai perkembangan kes tersebut.
Kumpulan wartawan terbabit kemudian beredar dari balai tersebut pada pukul 1.30 petang setelah Jahabar tidak muncul.
Sebelum ini salah seorang aktivis Bendera, Adian Napitupulu mengaku bahawa Jahabar pernah berhubung dan berkomunikasi dengannya dan beberapa pemimpin Bendera yang lain.
Malah, Adian ketika diwawancara oleh portal berita Indonesia, News.Okezone.com juga mengakui bahawa banyak pihak di negara ini termasuk pertubuhan parti politik menyokong tindakan Bendera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi menafikan pihaknya telah memanggil Jahabar untuk merekodkan keterangan.
"Kita tidak memanggil sesiapa hari ini untuk merekodkan keterangan kes tersebut.
"Sekiranya beliau (Jahabar) dipanggil, perkara itu pasti telah dimaklumkan kepada saya," katanya.

No comments:

Post a Comment