Friday, November 26, 2010

342 ditahan SPRM





SEREMBAN 25 Nov. – Bilangan pemberi rasuah yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Januari tahun ini sehingga semalam, naik mendadak kepada 342 orang membabitkan nilai suapan hampir RM2 juta.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 234 kes berbanding 108 orang sepanjang tempoh yang sama tahun lalu dan 93 pada 2008.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata, tangkapan itu melibatkan 339 orang awam yang cuba menyogok pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 81 orang telah didakwa.
“Meskipun berlaku peningkatan, ini adalah satu perubahan yang positif dalam kalangan penjawat awam sejak kita melancarkan kempen memerangi pemberi rasuah pada April lalu.
“Ini kerana lebih ramai penjawat awam tampil membuat laporan apabila ada pihak cuba menyogok mereka sehingga tertangkapnya pemberi rasuah ini,” kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Diskusi Meja Bulat SPRM bersama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) di sini.
Tudut hadir, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim dan Yang Dipertua MPS dan MPN, Datuk Abdul Halim Abdul Latif.
Sutinah menambah, perkara tersebut juga dilihat positif apabila trend penangkapan penjawat awam kerana menerima rasuah menurun iaitu sebanyak 232 orang bagi tempoh yang sama.
“Ini trend positif di mana tidak pernah sebelum ini SPRM menangkap lebih ramai pemberi rasuah kerana pada masa lalu banyak tangkapan dibuat ke atas kakitangan awam.
“Dalam konteks ini saya menyeru supaya lebih ramai kakitangan awam tampil membuat laporan sekiranya ada yang ingin memberi rasuah agar memberi mesej kepada orang ramai bahawa satu risiko besar apabila cuba memberi suapan kepada mereka,” katanya.
Beliau memberitahu, Negeri Sembilan berjaya menangkap 66 orang pemberi rasuah iaitu tangkapan tertinggi berbanding 17 orang kakitangan awam yang menerima rasuah.

No comments:

Post a Comment