Saturday, November 27, 2010

Tiga kampung ditenggelami air



KERAMBIT - Hujan lebat berterusan selama beberapa jam sejak 9 malam kelmarin menyebabkan beberapa kampung tradisional di kawasan ini dilanda banjir kilat.

Seorang penduduk, Arman Aziz, 36, berkata, banjir berlaku dengan pantas apabila air dari sungai berdekatan melimpah dan memasuki beberapa rumah penduduk.

Menurutnya, banjir kali ini merupakan yang paling teruk pernah berlaku sejak dia dan isteri tinggal di kawasan berkenaan.

“Kira-kira jam 1.30 pagi, air mulai melimpah dan memasuki rumah saya. Saya bersama isteri bertindak mengalihkan barangan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh bagi mengelakkan ia rosak.

“Rumah yang kami duduki hanya 100 meter dari sungai. Hampir setiap tahun kawasan ini dilanda banjir, namun kejadian pada hari ini (semalam) adalah yang paling teruk,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Seorang warga emas, Siti Ramlah Salleh, 63, berkata, air melimpah masuk ke dalam rumahnya sehingga paras dada menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah saudara di kawasan lebih tinggi.

“Ketika kejadian, saya bersama ahli keluarga lain sedang berborak di ruang hadapan rumah. Saya kemudiannya menjenguk ke bahagian dapur dan mendapati air sudah memasuki ruang berkenaan.

“Melihat keadaan itu, saya bersama ahli keluarga bertindak mengalih�kan barangan elektrik dan menyelamatkan dokumen penting, sebelum berpindah sementara ke rumah saudara berhampiran,” katanya.

Siti Ramlah berkata, air mulai surut sekitar jam 6.30 pagi dan mangsa yang terlibat terpaksa membersihkan kawasan rumah kerana diselaputi lumpur.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zahid Maulana berkata, sebanyak tiga kampung tradisional terbabit dengan banjir kilat itu.

“Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Padang Puyuh, Kampung Machang Berguling dan Kampung Putu di mana sembilan rumah penduduk dimasuki air.

“Pihak kami mendapat kerjasama daripada anggota bomba dan penyelamat, polis, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa agensi lain bagi membantu mangsa banjir berpindah ke tempat lebih selamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment