Saturday, November 27, 2010
Lumpuh akibat tergelincir
ATAS TOL – Seorang tukang rumah tidak mampu lagi bergerak dan berisiko lumpuh setelah mengalami patah tulang belakang dan kaki kiri akibat terjatuh sewaktu membaiki atap rumah rakannya di Kampung Bawah di sini.
Dalam kejadian berlaku pada 1 November lalu, bapa kepada empat anak berumur sebulan hingga 15 tahun ini, Mat Rashid Jusoh, 48, tergelincir lalu terjatuh dari ketinggian lapan meter berikutan atap rumah yang dibaik pulih licin.
Akibat kejadian itu, Mat Rashid terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu sebelum dimasukkan ke wad selama 13 hari dan menjalani pembedahan tulang belakang.
Kini, dia yang tinggal bersama isteri, Norimah Rawi, 38, terpaksa mengharapkan bantuan kewangan adik-be�radik untuk menyara keluarga termasuk perhatian anak bagi membantunya bergerak selepas mengalami kecederaan.
Lebih menyedihkan, seminggu selepas kejadian anak bongsunya yang dinamakan Habsyah dilahirkan.
Namun kata Mat Rashid, kehadiran orang baru yang sepatutnya disambut dengan gembira sedikit suram apabila dia tidak dapat menyediakan keperluan anaknya itu.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur kerana menerima bantuan kerusi roda Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Terengganu dari usaha Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong.
“Dengan kerusi roda ini dapatlah saya bergerak dan tidak perlu lagi menyusahkan anak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menerima bantuan itu disampaikan Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Zaidi Muda di rumahnya di sini.
Bagaimanapun, Mat Rashid masih tetap menaruh harapan agar dapat sembuh agar dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Sementara itu, wakil JKM, Suriati Ali, 22 berkata, pihak JKM telah mengesyorkan agar penerima membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan persekolahan anaknya memandangkan kecederaan itu akan mengambil masa lama untuk pulih.
“Maklumat awal kes ini telah diberikan kepada pihak yang terbabit. Selepas ini kita akan memperincikan lagi termasuk menyalurkan bantuan bulanan bagi keperluan anak mangsa yang ketika ini masih bersekolah,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment