Saturday, November 27, 2010

Jalan rosak angkara lori kuari

pix_middle
SUNGAI BULOH: “Sia-sia turap puluhan kali pun kerana jalan di sini akan rosak semula,” kata Aishah Muda, 38, penduduk Jalan Matang Pagar, di sini, berhubung keadaan jalan di kawasan terbabit yang teruk dan membahayakan pengguna.
Menurutnya, jalan di situ beberapa kali diturap semula, bagaimanapun ia semakin teruk dengan kehadiran puluhan lori yang menjadikan laluan itu sebagai jalan alternatif untuk ke tapak kuari berdekatan.

“Mereka memandu laju hinggakan lubang atau bonggol jalan dilanggar begitu saja.

“Kadangkala, bahan kuari yang dibawa terkeluar dari kenderaan menyebabkannya terkena pada kenderaan lain yang mengekori atau diletakkan dibahu jalan,” katanya menambah beberapa kejadian kemalangan maut pernah berlaku di situ membabitkan lori kuari. Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Lina, 23, berkata dia kerap melihat kemalangan kecil membabitkan penunggang motosikal dan kenderaan lain di sepanjang laluan itu berikutan struktur jalan yang teruk.

“Pernah seorang penunggang motosikal terjatuh ke dalam lubang dan dia hampir dilanggar lori. “Keadaan bertambah sesak apabila waktu bekerja. Lori akan keluar dan masuk di jalan ini untuk ke kuari berhampiran,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di jalan itu mendapati dalam 10 minit, sekurang-kurangnya 30 lori kuari menggunakan jalan terbabit.

Pemandu terbabit bukan saja memandu melebihi had laju, malah memandu dalam keadaan yang membahayakan pengguna lain.

Ia bertambah parah apabila struktur jalan yang sangat teruk dengan lubang di sepanjang jalan selain kesan turapan semula yang pecah.

No comments:

Post a Comment