KAJANG: Selepas tidak tahan dengan sikap suaminya yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita, seorang ahli perniagaan memfailkan tuntutan perceraian fasakh di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, selepas hampir 22 tahun bernikah.
Sadiah Abdul Shukor, 46, yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, membuat permohonan itu terhadap Abdullah Abdul Rahman, 46, yang juga pegawai kanan kerajaan di kaunter pendaftaran Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
Tuntutan itu dibuat mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor).
Berdasarkan penyata tuntutan itu, Sadiah (plaintif) mendakwa dia sudah tidak tahan dengan sikap Abdullah (defendan) yang menjalinkan hubungan sulit dengan wanita Filipina dan Thailand.
Plaintif mendakwa mempunyai bukti terhadap kecurangan suaminya apabila menjumpai gambar lucah defendan bersama wanita lain selain bukti salinan pasport yang menunjukkan Abdullah berulang-alik ke Thailand setiap bulan.
Defendan juga didakwa mengabaikan nafkah melebihi tiga bulan sehingga menyebabkan plaintif terpaksa menampung perbelanjaannya dan anak.
Pasangan itu bernikah pada 31 Januari 1988 di Johor dan dikurniakan empat anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia 22 hingga empat tahun.
Mahkamah menetapkan 15 Disember ini untuk mendengar kes itu.
No comments:
Post a Comment