KOTA TINGGI 26 Nov. – Siapa yang tidak mengakui keenakan cendawan goreng yang dicicah dengan kicap pedas, malah rugi jika berkunjung ke Johor tanpa menjamah makanan kegemaran ramai itu.
Bagi memenuhi permintaan tinggi pasaran, sebanyak tujuh kampung tradisional di tiga kawasan Parlimen di daerah ini terpilih untuk mengikuti projek penanaman cendawan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).
Kampung tersebut adalah Kampung Lukut, Kampung Sri Jaya dan Kampung Semanggar dalam Parlimen Tenggara, Kampung Mawai Baru dan Kampung Sembayong di Parlimen Kota Tinggi, manakala Kampung Serindit dan Kampung Teluk Ramunia di Parlimen Pengerang.
Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi, Asman Aman berkata, penanaman cendawan mudah diusahakan dan memberi pulangan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Menurutnya, tanaman itu tidak rumit dan hanya memerlukan masa dua atau tiga jam sehari untuk mengendalikannya dan mampu menambah pendapatan sampingan keluarga.
‘‘Peserta SPKR amat bertuah kerana semua peruntukan disediakan dan mereka hanya perlu menunjukkan semangat serta keyakinan diri untuk terus maju mengusahakan tanaman berkenaan,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di tapak projek cendawan SPKR di Kampung Semanggar di sini baru-baru ini.
Asman memberitahu, peruntukan yang diberi meliputi sebuah bangsal cendawan berkeluasan 12.4 meter panjang dan 6.09 meter lebar yang boleh memuatkan 8,000 bungkal cendawan dan rak-rak tanaman itu.
Dalam pada itu katanya, Jabatan Pertanian Daerah sentiasa membantu memantau dan memberi khidmat nasihat serta tunjuk ajar kepada peserta supaya cendawan yang dihasilkan berkualiti.
Sementara itu, Pengerusi Projek Cendawan SPKR Kampung Semanggar, Jasmani Satar, 49, berkata, projek tersebut bukan sahaja mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat miskin malah dapat meningkatkan taraf hidup mereka.
Menurutnya, program berkenaan juga dapat melatih peserta dan memberikan kemahiran serta cara untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
Katanya, seramai tujuh keluarga miskin di kampung itu menyertai projek yang diusahakan bagi meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka.
“Kampung ini bertuah kerana terpilih serta diberi peluang mengikuti projek ini. Hasil pengeluaran cendawan ini akan dibahagi sama rata oleh peserta,” katanya.
No comments:
Post a Comment