GUA MUSANG: “Keadaan rumah kami daif dan berdindingkan buluh, tetapi hendak buat macam mana, itu saja yang termampu saya sediakan untuk keluarga,” kata Wan Saifullah Yuswadi Wan Ahmad.
Akibat dicengkam kemiskinan, Wan Saifullah, 30, yang mengambil upah menoreh getah di kebun penduduk di Kampung Kuala Nerus, dekat sini, sejak enam tahun lalu hanya mampu menyediakan rumah ala kadar untuk dihuni bersama isteri dan dua anaknya.
Malah, tapak rumah berkenaan dibina di tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad kerana dia tidak memiliki tanah sendiri.
“Walaupun berdepan dengan kemiskinan, saya terpaksa tabahkan diri untuk menghadapi segala dugaan itu asalkan anak, Wan Norshafiqa Natasha, 7, dan Wan Norshuhada Imani, 6, dapat bersekolah.
“Tidak dinafikan jika dilihat kediaman kami ini memang daif kerana berdindingkan buluh, tetapi saya tetap bersyukur kerana masih ada tempat berteduh,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.
Menurutnya, dia terpaksa membina rumah yang serba kekurangan itu kerana tidak mahu bergantung dan tinggal bersama ibunya bagi mengelak kesesakan berikutan ramai adik beradiknya masih menghuni rumah itu.
“Saya terpaksa meninggalkan rumah ibu kerana keadaan tidak mengizinkan. Apa yang ada termasuk buluh di kawasan sekeliling saya jadikan dinding rumah untuk menjadi tempat perlindungan buat kami sekeluarga.
“Itupun mujur Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) baru-baru ini memberi bantuan simen dan saya menggunakannya untuk membuat lantai. Jika tidak sudah pasti kami akan terus berlantaikan tanah,” katanya. Wan Saifullah berkata, pendapatan hasil upah menoreh sekitar RM600 sebulan dan hanya sekadar mampu menampung perbelanjaan makan dan persekolahan anak.
“Sebelum ini saya sudah menemui pelbagai pihak untuk mendapatkan bantuan khususnya bagi membina rumah yang lebih selesa tetapi belum mendapat perhatian daripada pihak terbabit.
“Namun, secara kebetulan hari ini (kelmarin), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Abdul Aziz Yusoff datang melihat sendiri kedaifan hidup kami sekeluarga,” dan saya berharap kami diberikan bantuan untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa,” katanya.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya memandang serius kemiskinan keluarga terbabit dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk mendaftarkan keluarga itu di bawah Program E-Kasih untuk dipertimbangkan diberikan bantuan.
No comments:
Post a Comment