Saturday, November 27, 2010

Jalan rosak, penoreh rugi



BUKIT KAYU HITAM - Laluan utama kira-kira 50 penoreh getah di Kampung Tok Kassim, Jalan Sintok di sini rosak teruk sejak enam bulan lalu sehingga menyukarkan mereka berulang alik ke kebun getah.

Keadaan itu bertambah teruk selepas ia dilalui kira-kira 10 lori yang mengangkut kayu getah keluar masuk melalui jalan itu setiap hari.

Penoreh, Zakaria Tahir, 68, mendakwa jalan tidak berturap sepanjang kira-kira tiga kilometer menghubungkan jalan utama ke kebun getah mereka itu dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung menggunakan tanah merah sahaja.

Menurutnya, mereka sendiri yang membina jalan tanah merah di situ bagi memudahkan pergerakan penoreh getah untuk berulang alik menoreh getah di situ sejak awal pagi.

“Bagaimanapun sejak enam bulan lalu, keadaan jalan di situ menjadi rosak kerana terdapat banyak lori muatan lebih 15 tan mengangkut kayu getah daripada sebuah tanah rancangan Felda dekat sini yang ditebang untuk tujuan projek tanaman semula.

“Ia semakin rosak selepas kerap dilalui lori berkenaan yang menggunakan jalan itu mengangkut kayu getah untuk dihantar ke kilang sebagai jalan pintas,” katanya kepada Sinar Harian.

Zakaria berkata, keadaan itu amat membahayakan penoreh getah yang menaiki motosikal untuk ke kebun mereka setiap pagi kerana bimbang tayar motosikal mereka tersangkut pada lopak yang berselut jika hari hujan.

Menurutnya, mereka juga membuat laporan polis berkaitan masalah itu bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

“Selain laporan polis, kami juga pernah berbincang dengan pemilik lori terbabit dan meminta mereka menggunakan laluan lain yang disediakan untuk mereka keluar masuk mengambil kayu getah namun mereka enggan disebabkan jalan ini lebih dekat dan dapat menjimatkan masa dan kos,” katanya.

Sementara itu, Baharom Husin, 60, berkata, kemalangan kecil pernah berlaku pada waktu pagi di mana penoreh yang bermotosikal terbabas kerana jalan di situ berlopak teruk ditambah keadaan laluan yang gelap pada waktu pagi.

Menurutnya, disebabkan masalah itu juga, banyak peraih yang enggan memasuki kebun mereka untuk membeli getah buku sejak kebelakangan ini.

“Ada juga peraih yang mengurangkan harga getah beku sebanyak 10 sen sekilogram apabila memasuki jalan itu untuk ke kebun mereka kerana bimbang kenderaan mereka rosak apabila melalui jalan berkenaan.

“Masalah ini jika tidak ditangani bukan sahaja akan mengancam keselamatan penoreh di sini malah turut menjejaskan pendapatan mereka yang hanya bergantung kepada hasil jualan getah buku kepada peraih itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment