MARANG: “Kemalangan April lalu mengubah hidup saya, perniagaan sebelum ini dan menjadi punca pendapatan musnah dalam sekelip mata,” kata Ismail Hassan, 40, dari Kampung Darat Pak Chang, di sini.
Menurutnya, sebelum kemalangan dia yang bekerja sebagai pemborong sayur dan barangan runcit kecil-kecilan aktif menghantar bekalan itu ke beberapa pasar di negeri ini, namun tragedi lori dipandu pekerjanya merempuh belakang sebuah lori lain mengubah kehidupannya kini.
Katanya, dalam kejadian jam 3.30 pagi 15 April lalu, dia berada di tempat duduk sebelah pemandu dan sedang tidur sebelum terkejut sebaik tiba di lampu isyarat Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, selepas lori dinaikinya berhenti mendadak.
“Ketika itu saya dalam perjalanan dari Wakaf Che Yeh, Kelantan, mengambil sayur untuk dihantar ke pasar borong Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu sebelum kejadian berlaku.
“Sebaik sedar saya merasa badan sudah tidak dapat bergerak dan sebaik diberitahu lori yang dinaiki mengalami kemalangan, saya terus mendiamkan diri kerana ketika itu kaki saya tersepit,” katanya yang mengalami patah kaki.
Selain itu, perutnya juga terpaksa ditebuk untuk memudahkannya membuang air kecil.
Akibat kemalangan itu, dia tidak dapat berniaga lagi dan semua asetnya seperti kereta, van serta lori terpaksa dijual bagi menampung perbelanjaan hidupnya.
Menurutnya, tertekan kerana hilang mata pencarian, dia mengalami tekanan emosi dan diarahkan doktor menjalani pemeriksaan sakit jiwa di Hospital Sultanah Nur Zahirah, bulan depan.
“Saya buntu memikirkan masa depan kerana hendak memulakan perniagaan sudah tidak mampu dan berharap ada pihak sudi menghulur bantuan pekerjaan selepas saya sembuh nanti,” katanya.
Sementara itu, ibu Ismail, Chek Awang, 53, berkata dia kasihan melihat anak ketiganya itu yang kini terpaksa berkerusi roda dan merayu mana-mana majikan menghulurkan simpati dengan mengambil anaknya bekerja.
No comments:
Post a Comment