Saturday, November 27, 2010
Kes hamil luar nikah meningkat
TANAH MERAH - Sesi kaunseling bagi remaja hamil luar nikah anjuran Pejabat Agama dan Jajahan Tanah Merah di sini, semalam ternyata memberi kesedaran kepada peserta dan ibu bapa yang hadir pada program itu.
Seramai 21 daripada 26 peserta merupakan kes hamil luar nikah di jajahan Tanah Merah dan dua daripada Jeli hadir bersama pasangan dan ibu bapa pada sesi terbabit yang diadakan di Dewan Mahkamah Rendah Syariah Jajahan Tanah Merah.
Pegawai Agama Jajahan Tanah Merah, Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob berkata, sesi terbabit diadakan bagi memberi kesedaran kepada golongan berkenaan tentang kesalahan dilakukan yang bertentangan dengan Islam.
“Sesi kaunseling itu diharap dapat menyedarkan mereka dan kembali ke pangkal jalan mengikuti lunas Islam dan meninggalkan perkara yang dilarang,” katanya.
Menurutnya, kes hamil anak luar nikah amat membimbangkan dalam kalangan remaja wanita Melayu sejak akhir-akhir ini dan Jabatan Agama mengambil langkah mengadakan kaunseling bagi mengelakkan mereka terus hanyut.
Diharapkan program seumpama itu dapat mengurangkan kadar kelahiran anak luar nikah yang semakin meningkat saban tahun.
Sementara itu salah seorang ibu yang menghadiri sesi terbabit yang dikenali sebagai Rahmah berkata, dia mengharapkan agar anaknya dapat menerima ketentuan Ilahi dan berusaha menjadi insan yang sentiasa taat dan patuh kepada ajaran agama.
“Anak saya menjadi mangsa keadaan apabila dia dipercayai dirogol oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya telah berusaha mendidik anak saya sebaik mungkin dan diharapkan selepas ini masih ada cahaya dan harapan untuknya meneruskan kehidupannya walaupun melalui liku-liku hidup yang sukar kerana menjadi mangsa rogol,” katanya.
Seorang lagi peserta yang dikenali sebagai Aini mengharapkan kehidupannya selepas ini akan berubah setelah membina keluarga dan melahirkan anak.
“Saya mengharapkan agar kehidupan saya lebih baik selepas ini dan merasa menyesal di atas perlakuan yang pernah saya lakukan sebelum ini.
“Diharapkan selepas ini saya dapat membina sebuah keluarga bahagia bersama pasangan dan memberi pendidikan terbaik untuk masa depan anak-anak agar tidak terjebak dalam gejala seumpama ini,” katanya.
Sesi kaunseling pada program berkenaan dikendalikan dua penceramah iaitu Pegawai Agama Jajahan Kota Bharu, Suratmi Mat Jusoh yang membincangkan mengenai hukum zina, pergaulan dan perwarisan manakala sesi kedua yang menjurus kepada motivasi dan muhasabah diri yang dikendalikan oleh kaunselor Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemahang, Samsul Anuar Anifa.
Hadir sama, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Tanah Merah, Nurul Ayesha Ahmad Annuar dan wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tanah Merah, Salwah Che Mahmood serta Alif Azman Ab Rashid.
Labels:
hamil
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment