Friday, December 3, 2010
12 tahun tiada surat beranak
GEMENCHEH LAMA – Harapan seorang kanak-kanak, Saronan, 12, untuk menyambung pelajarannya di penempatan baru setelah keluarganya berpindah kira-kira tiga tahun lalu hampa apabila permohonannya ditolak susulan ketiadaan surat beranak.
Ibunya, A Saroja, 42, berkata, nasib anak keenamnya itu malang kerana dua adik-beradiknya yang lain sudah memiliki surat beranak dan kini berpeluang melalui alam persekolahan seperti kanak-kanak lain.
Menurutnya, susulan kesusahan hidupnya dahulu dia tidak mempunyai kudrat keluar sendiri mendaftar kelahiran tiga anaknya iaitu daripada anak kelima hingga ketujuh selepas suaminya tidak mahu melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
“Bagaimanapun, anak sulung saya hingga keempat tidak berhadapan dengan masalah ketiadaan surat beranak kerana mereka semua telah didaftarkan kelahiran�nya oleh mendiang suami saya.
“Oleh itu, saya berharap supaya ada pihak yang dapat membantu kami mempercepat dan melancarkan proses memperoleh surat beranak Saronan untuk memastikan dia berpeluang diterima bersekolah semula,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Yu Ye, kelmarin.
Difahamkan, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menghantar surat bertarikh 11 November 2005 ke alamat kediaman asal Saroja di Sungai Baru Estate, namun hanya diketahui pada tahun ini.
Saroja berkata, saudaranya menghantarkan surat berkenaan ke kediamannya di Gemencheh Lama sebaik sahaja pemilik kedai runcit di lokasi berdekatan Sungai Baru Estate memaklumkan terdapat surat dengan namanya.
Menurutnya, dia buntu kerana mereka sekeluarga sudah berpindah, selain mengalami kesukaran untuk pergi ke pejabat JPN di Melaka kembali untuk menyelesaikan tanggungjawab berkenaan.
“Oleh itu, apabila kami mendengar ada program turun padang JPN di ladang Regent Gemencheh Julai lalu, kami hadir mengetengahkan masalah kami dan membawa dokumen berkaitan.
“Namun, masalah kami masih belum selesai dan menyebabkan nasib anak saya Saronan untuk menyambung pelajaran berkecai begitu sahaja tambahan apabila kanak-kanak sebayanya sudah mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya.
Labels:
surat beranak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment