Friday, December 3, 2010
Ambil iktibar daripada kisah pilu P. Ramlee
APABILA membaca makalah dan menonton filem dokumentari yang menceritakan kisah hidup seniman agung P. Ramlee baru-baru ini, terasa begitu hiba sekali. Di mana silap beliau dan apa salahnya? Di mana perginya peminat seni?
Rupanya, ada manusia yang tergamak melihat jatuhnya seorang seniman agung dan membiarkannya hidup dalam keadaan daif, tanpa belas kasihan. Paling sedih, diceritakan juga di akhir hayat hidupnya, P. Ramlee hanya makan nasi dengan telur goreng.
Saloma, balu beliau, tidak berwang untuk menguruskan jenazah Allahyarham. Nasib baik ada beberapa teman yang memberikan bantuan.
Dengan kata lain, P. Ramlee hidup dalam kemiskinan, serba kekurangan dan disisihkan peminatnya/bangsanya sendiri, tanpa pembelaan yang sewajarnya. Walhal seni dan karyanya dinikmati ramai.
Sebelum meninggal dunia pada usia 44 tahun, diceritakan beliau amat kecewa apabila berhijrah ke Malaysia. Apa yang dijanji dan diharapkan tidak menjadi. Terasa dirinya dikhianati.
Selepas kematiannya, barulah ada yang bersimpati dan menghargai P. Ramlee. Maka diberilah darjah kebesaran dengan gelaran Tan Sri, tertubuh Muzium P. Ramlee dan sebagainya.
Sebabnya, kita baru sedar tentang sumbangan seni yang tidak ternilai harganya kepada bangsa Melayu di Nusantara Melayu.
Yang lebih menarik lagi, beliau mendahului zamannya dan berjiwa besar. Pada saya P. Ramlee adalah ‘Pujangga Melayu’.
Jika kita menonton filem arahan, lakonan dan lirik nyanyian lagu beliau, ada diselitkan nasihat/petunjuk untuk bangsanya. Dalam banyak filemnya, jelas dipaparkan keadaan/ hidup bangsanya yang mundur dalam era 1950-an hingga 1960-an.
Ini termasuk dalam bidang pelajaran, ekonomi, sosial dan agama. Beliau cuba memperbetulkan keadaan dengan caranya tersendiri dan bersahaja termasuk berkomedi.
Banyak boleh kita pelajari daripada cerita dan nyanyian beliau. Lagunya, selain sedap dan alunan yang mengasyikkan, banyak membawa maksud yang tersirat.
Satu lagi yang boleh dijadikan iktibar adalah perlunya orang seni kita bijak menjaga hak ciptaannya. Tubuhkan persatuan yang kuat, bukan hanya asal ada sahaja. Utamakanlah kesejahteraan anggota dan masyarakat.
Akhir sekali, semoga akan lahir lebih ramai seniman yang berwibawa seperti seniman agung Tan Sri P. Ramlee di Singapura dan di Nusantara Melayu ini.
Bukan lagi seniman yang miskin dan sering tertipu, tetapi yang lebih arif, kaya, disayangi peminatnya/bangsanya semasa hidup – bukanlah sesudah matinya.
Abdul Rahman Yacob
Labels:
P. Ramlee
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment