Friday, December 3, 2010

Usah terpengaruh cerita blog



KOTA BHARU- Timbalan Pesuruhjaya III Pas Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sangsi dengan dakwaan sebuah blog yang mengaitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di negeri ini mempunyai masalah peribadi.

Menurutnya, masyarakat tidak harus menerima sembarangan berita yang disebarkan melalui blog dan Facebook tanpa menyelidik terlebih dahulu kesahihan tulisan yang dibuat.

“Kalau internet macam-macam cerita, saya secara peribadi sangsi dengan cerita internet. Kita kena tapis banyak,” katanya kepada pemberita selepas hadir di Majlis Pelancaran Tabung Serambi Mekah di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan sebuah blog yang mengaitkan seorang ADUN Pas di negeri ini yang dikatakan ditangkap khalwat dalam koc VIP kereta api.

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, isu mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri dari DAP jika menang di Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak seharusnya berbangkit buat masa ini.

Menurutnya, semua parti dalam Pakatan Rakyat seharusnya menumpukan perhatian untuk mendapatkan kemenangan dalam pilihan raya terlebih dahulu sebelum dapat berbincang untuk memutuskan pelantikan berkenaan.

Namun katanya, sebarang keputusan tertakluk kepada majlis pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang akan membincang perkara tersebut pada masa yang sesuai.

“Namun apa yang penting keputusan pilihan raya, ia bergantung kepada kerusi (parlimen). Jika DAP dapat sedikit, tentu mereka tak akan menuntut (jawatan TPM). Begitu juga Pas, kita kalau menang sikit, takkan kita nak tuntut,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mohd Amar tidak menolak kemungkinan PRU akan diadakan tahun depan berdasarkan perkembangan politik semasa.

No comments:

Post a Comment