Friday, December 3, 2010

Mengapa 'protokol' adik ditahan dan disoal berulang?




PADA 20 November sekitar 6 pagi, saya bersama keluarga melalui kaunter imigresen di Lapangan Terbang Changi Terminal 2, setelah pulang bercuti dari Mesir.
Namun kegembiraan kami bertukar menjadi kekecewaan kerana adik kami, yang pulang bersama kami setelah tamat pengajiannya di Universiti Al-Azhar, ditahan dan diarah masuk ke pejabat Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Kami tidak diberitahu mengapa adik kami ditahan. Setelah 15 minit gelisah menunggu, muncul seorang pegawai bernama Encik Rahim yang memaklumkan bahawa adik kami disoal kerana berada lama di Mesir dan ini merupakan satu protokol biasa.
Sekitar 30 minit kemudian, muncul seorang lagi pegawai bernama Encik Yee yang memaklumkan bahawa adik kami masih disoal dan meminta nombor telefon seorang anggota keluarga agar dapat mereka hubungi jika perlu.
Sekitar 40 minit kemudian, muncul adik saya bersama Encik Yee yang memberitahu kami ini merupakan satu protokol kerana adik saya belajar di Mesir agak lama, dan kami tidak perlu risau kerana jika mereka perlukan maklumat tambahan, barulah adik saya akan dihubungi lagi.
Namun, keadaan ini berulang pada 27 November sekitar 3.15 petang apabila saya bersama adik pulang dari Johor Bahru melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Adik saya sekali lagi ditahan dan disoal di pejabat ICA. Beliau mengulangi jawapan yang diberikan semasa di lapangan terbang.
Saya musykil kerana setahu saya Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir, merupakan sebuah institusi tinggi yang diiktiraf Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Para pelajarnya sering berhubungan dengan Kedutaan Singapura di Kahirah tentang perkembangan pelajar dan isu-isu di tanah air.
Soalan saya: Mengapakah adik saya ditahan dan disoal sehingga dua kali dengan alasan yang sama? Tidakkah ICA mencatat butiran yang diberikan semasa disoal kali pertama sehinggakan soalan sama diajukan kepada beliau semasa ditahan kali kedua?
Adakah adik saya akan ditahan dan disoal pihak ICA setiap kali beliau pulang ke tanah air? Ditahan dan disoal setiap kali melalui imigresen membuat adik saya berasa malu, seperti beliau merupakan pesalah imigresen.
Saya harap pihak ICA dapat memberi penjelasan mengenai perkara ini.
Mastuatina Mohd Syonan

No comments:

Post a Comment