Friday, December 3, 2010
Banjir landa rumah milik lima sekeluarga
SUNGAI RAMBAI - Lima sekeluarga dari Kampung Parit Penghulu Benteng, dekat sini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Rendah Agama (SRA) Parit Penghulu Benteng, malam kelmarin.
Ini berikutan rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat.
Mangsa, Faridah Mansor, 42, berkata, biarpuan dia menyedari air mula melimpah ke dalam rumahnya sejak awal pagi, tetapi dia tetap bersiap ke tempat kerja seperti biasa di kawasan perindustrian Merlimau.
Bagaimanapun, katanya, anaknya, Noraisyah, 12, yang tinggal di rumah menghubunginya dan memberitahu keadaan semakin buruk.
Jiran Faridah, Masnor Mohammad, 74, berkata, sejak tinggal di rumah berkenaan kira-kira 20 tahun lalu, rumahnya kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat.
Katanya, pada kebiasaannya banjir yang berlaku tidak begitu teruk dan hanya berada pada paras kira-kira 0.3 meter, kecuali banjir besar empat tahun lalu.
“Berbeza pada kali ini, banjir yang berlaku sedikit tinggi apabila rumah kami dinaiki kira-kira 0.4 meter,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Lijah Mansor, 46, berkata, air dari parit belakang rumahnya mula melimpah kira-kira 7.30 pagi kelmarin dan tidak lama selepas itu, ia mula memasuki rumah.
“Hujan mula turun sejak petang Isnin dan berterusan sehingga awal pagi kelmarin dan apabila air mula memasuki rumah, saya sekeluarga mula memindahkan barang yang berada di atas lantai ke tempat lebih tinggi.
“Apabila malam, saya dapati paras air semakin meningkat dan kami diarahkan berpindah ke pusat pemindahan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sempat melawat keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan itu.
Mohd Ali berkata, tanah yang didiami mangsa banjir sebenarnya adalah milik kerajaan.
Menurut beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah pun membayar pampasan kepada penduduk ketika banjir besar pada 2004.
“Kawasan ini merupakan kawasan rendah dan sering dilanda banjir. Jadi, pampasan diberikan agar penduduk boleh berpindah ke kawasan lebih tinggi.
“Saya berharap penduduk dapat memberi kerjasama dengan segera berpindah ke kawasan lain dan pampasan sudah pun diberikan dan masalah sebegini tidak akan berlaku sekiranya mereka berpindah,” katanya.
Hadir sama dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman dan Pegawai Daerah Jasin, Roslan Eusoff.
Labels:
banjir
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment