Friday, December 3, 2010

Gadai nyawa harungi sungai



POS BROOKE - Beratus penduduk Orang Asli di tiga kampung termasuk Kampung Liak, Kuala Renggil dan Pos Brooke Lama, di sini terpaksa mengharungi sungai setiap hari sejak jambatan gantung merintangi Sungai Belatop di kampung itu musnah sejak awal bulan lalu.

Jambatan gantung itu rosak akibat dirempuh arus sungai deras, tetapi ia dirobohkan semula untuk dibina baru oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jheoa) menyebabkan penduduk Orang Asli terputus hubungan.

Walaupun mereka boleh mengharungi sungai, namun ia dalam keadaan bahaya terutama apabila hujan lebat menyebabkan arus deras dan dalam.

Seorang penduduk, Riak Ujang, 35, berkata, masalah jambatan gantung yang rosak memang telah mendapat perhatian segera Jheoa negeri Kelantan dan sekarang ini sedang dalam pembinaan baru.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa bergadai nyawa mengharungi sungai untuk berulang-alik dari rumah ke Pos Brooke atau Lojing.

Katanya, kanak-kanak Orang Asli yang turut mengharungi sungai ditemani ibu bapa masing-masing kerana takut ditimpa kejadian tidak diingini kerana arus sungai berkenaan deras.

“Hanya waktu malam penduduk takut untuk mengharungi sungai berikutan kerap air sungai melimpahi tebing kerana hujan lebat setiap malam.

“Kita tidak benarkan anak-anak mengharungi sungai itu bersendirian kerana merbahaya dan mungkin tidak sempat diselamatkan sekiranya dihanyutkan arus deras,” katanya.

Kasim Malu, 52, berkata, tiga kampung berkenaan sejak dahulu lagi menghadapi masalah berhubungan kerana jambatan gantung yang dibina mudah rosak dilanda arus sungai.

Beliau mahu kerajaan menimbangkan untuk membina sebuah jambatan konkrit bagi memberi kemudahan yang lebih selesa dan tahan lama walaupun dilanda arus sungai itu.

“Kadang kala kita bimbang dengan menggunakan jambatan gantung terutama semasa penduduk melaluinya dan dilanda arus sungai yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Sebagai penduduk tempatan di sini, beliau harap perubahan kemajuan berlaku di perkampungan Orang Asli seimbangkan dengan pembangunan negara.

No comments:

Post a Comment