Monday, December 13, 2010

Anwar dakwa SB PDRM sumber dedah liwatnya


KUALA LUMPUR 12 Dis. - Unit Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa sebagai sumber pendedahan WikiLeaks di mana agensi perisikan Singapura mengesahkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang terlibat dalam aktiviti liwat.
Namun, Anwar ketika menyatakan dakwaan tersebut tidak pula menafikan pendedahan itu sebaliknya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sekadar berkata; "Bukti tak ada (tiada)".
"Sumber? Polis SB Malaysia, bukti tak ada," kata Anwar dalam Twitternya hari ini ketika diminta mengulas mengenai pendedahan WikiLeaks yang dipetik melalui laporan The Sydney Morning Herald.
Wikileaks semalam mendedahkan bahawa agensi perisikan Singapura mengesahkan Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dilakukan agensi itu, dipercayai melalui kaedah memintas talian komunikasi negara.
Pendedahan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat bertarikh November 2008, iaitu kira-kira lima bulan selepas dakwaan Anwar meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan terbongkar.
Menurut WikiLeaks, dalam laporan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat itu, pegawai-pegawai perisikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa, Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat sebagaimana pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sekarang.
Maklumat risikan itu dikukuhkan lagi apabila WikiLeaks juga mendedahkan bahawa Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew sendiri pernah memberitahu agensi Risikan Kebangsaan Australia (ONA) sewaktu mereka bertukar-tukar pandangan bahawa Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat.

No comments:

Post a Comment