Monday, December 13, 2010

Pas tetap perjuang negara Islam


KUALA LUMPUR 12 Dis. – Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali hari ini menafikan laporan portal berita propembangkang bahawa beliau meminta semua pihak supaya jangan membangkitkan lagi isu penubuhan negara Islam yang menjadi perjuangan parti tersebut.
Sambil menjelaskan bahawa sudah banyak kali kenyataannya disalah tafsirkan, Mustafa berkata, apa dimaksudkan supaya jangan dibangkitkan lagi adalah dalam konteks konvensyen pakatan pembangkang yang akan berlangsung di Pulau Pinang, minggu depan.
“Soal negara Islam hanyalah istilah tetapi perjuangan Islam tetap menjadi dasar Pas. Perkara ini bukan isu kerana DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) faham dengan dasar yang sekian lama diperjuangkan oleh Pas. Islam akan terus jadi pegangan Pas.
“Jangan kita hanya melihat pada istilah, istilah ini jika silap ditulis atau dilaporkan ia akan memberi maksud yang berbeza. Apa yang saya perkatakan pagi ini (hari ini) adalah dalam konteks konvensyen pakatan pembangkang nanti, bukan soal tidak mahu menubuhkan negara Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Malaysian Insider bahawa Pas meminta semua pihak supaya jangan lagi membangkitkan isu negara Islam yang selama ini menjadi pegangan parti itu sekiranya pembangkang menguasai kerajaan Pusat.
“Benda ini (negara Islam) sudah tidak ada isu, tak usah nak bangkitkan lagi isu ini. Tak usah nak bangkitkan lagi,” lapor Malaysian Insider yang mendakwa memetik kenyataan Mustafa selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja Pusat Pas di Markas Pas, Taman Melewar, hari ini.
Menurut portal itu lagi, ketetapan tersebut dibuat kira-kira seminggu selepas Mustafa yang sebelum ini mengarahkan semua pemimpin Pas supaya jangan menyentuh isu-isu semasa, dipercayai berkait dengan dasar negara Islam serta jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk bukan Melayu.

No comments:

Post a Comment