Monday, December 13, 2010

Perihal anak bilis dan bapak jerung





* PALING tidak pun untuk sementara waktu ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menangkis tohmahan dan tanggapan negatif orang ramai selama ini kononnya agensi itu memilih ikan. 

Sehari dua ini badan bebas itu cuba membuktikan kepada umum bahawa jaringnya tidak memilih mangsa. Sama ada anak bilis, ikan sepat Siam, ikan haruan, ibu dugong, hatta bapak jerung, semua masuk jaring. 

Minggu lalu Ketua Pembangkang yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima dua lot tanah dengan harga RM3.5 juta, pada 2007. 

Khir didakwa di bawah Seksyen 165 Panel Kod yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara dua tahun, atau denda, atau keduanya. Khir yang juga ADUN Sungai Panjang dan telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang, mengaku tidak bersalah. 

Untuk berlaku adil kepada SPRM, ini bukan pertama kali ikan besar masuk dalam jaringnya. Belum lama dulu bekas Menteri Pengangkutan yang juga bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik, dihadapkan mahkamah berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Beliau juga mengaku tidak bersalah. 

Setelah seekor ikan besar, seekor lagi masuk dalam jaring. Mungkin kini ada ikan-ikan besar lain yang mula bimbang dan tidak lena tidur, sebab terbayang-bayang kengerian masuk jaring SPRM. 


* BAGI SPRM dia ingin membuktikan bahawa tindakan memerangi rasuah tidak pernah memilih bulu. Orang biasa, orang politik, orang korporat, orang atas, orang bawah, semua akan diheret sekiranya ada bukti yang kukuh. 

Tentu sekali bukan kerja mudah menyiasat dan mengumpul bukti sebelum seseorang – lebih-lebih lagi individu berprofil tinggi – boleh didakwa. Dalam kes Khir hanya selepas lebih tiga tahun baru tindakan diambil. 

Bagi Khir yang mengaku tidak bersalah, beliau mahu proses mahkamah berjalan dengan cepat sebab itu akan memberi peluang kepadanya untuk membersihkan nama dan air muka. 

Bagi pihak pembangkang pula mereka menganggap tindakan ke atas Khir tidak lebih dari sebuah sandiwara. Beberapa orang pemimpin pembangkang mengandaikan kes Khir hanyalah acah-acah, atau gimik pilihan raya. 

Umum naik bingung, siapa sebenarnya yang main sandiwara? Orang kita tidak habis-habis bersandiwara, lepas satu babak, timbul pula babak lain. Elok kita fikirkan siapakah yang suka bersandiwara ini. 

Dulu pembangkanglah yang menjerit pagi petang siang malam supaya bekas Menteri Besar itu didakwa. Malah, wakil rakyat PR yang mula-mula mendedahkan isu banglo mewah Khir. 

Kini apabila SPRM betul-betul bertindak, ada pula suara-suara sumbang yang terus memperlekeh agensi tersebut. Nampaknya pembangkang tidak akan pernah berpuas hati atas apa juga yang dibuat oleh SPRM. 

Sepatutnya berilah peluang kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan proses undang-undang, jangan cepat-cepat membuat andaian, seolah-olah merekalah yang menjadi hakim. Atau, apakah suara-suara sumbang ini juga satu sandiwara? 


* APA pun bagi kerajaan tidak ada sandiwara dalam memerangi rasuah. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, SPRM telah diberi kuasa penuh dan kebebasan untuk bertindak terhadap pengamal rasuah. 

“Tidak timbul soal cover-up (melindungi) sesuatu kes kerana SPRM perlu memberikan penjelasan kepada Lembaga Penilaian Operasi bagi aduan yang tidak diambil tindakan,” kata beliau seperti yang dipetik media. 

“Jadi, saya harap mereka (yang lemparkan gosip liar) tidak teruskan perilaku ini sebaliknya mereka perlu konstruktif membantu SPRM dan bukannya lemparkan tohmahan seperti itu,” katanya. 

Najib menegaskan martabat dan jawatan seseorang bukan jaminan mereka tidak akan diambil tindakan jika melakukan rasuah, dan kerajaan yang diketuainya amat komited mahu memerangi rasuah. 

Bagi kebanyakan orang, kes Tun Dr Ling dan Dr Khir memang bukti ketegasan kerajaan dalam memerangi jenayah keji ini. Namun, umum mengharapkan akan ada banyak lagi ikan besar masuk jaring SPRM. 

Cakap-cakap mengenai ada bekas menteri yang rasuah, juga pegawai-pegawai kanan menteri yang menyeleweng kuasa dan sekian banyak tuduhan perilaku tidak senonoh yang dilakukan oleh wakil-wakil rakyat, janganlah diketepikan begitu sahaja. 

Najib telah memberi jaminan tidak akan melindungi, dan tidak campur tangan dalam urusan SPRM. Maka terpulang kepada SPRM untuk terus menyiasat dan menjaring di laut dalam untuk menangkap jerung, paus, malah ‘jaws’! 


* AKHIR kalam, masih mengenai rasuah. Bukan yang menerima rasuah sahaja patut bimbang, yang memberi rasuah pun berdosa juga. Kalau tidak ada tangan yang rela menghulur pasti tidak ada tangan yang sudi menerima. 

Dalam hal ini SPRM tidak sahaja menjaring yang menerima, sebaliknya yang memberi pun mula masuk pukat. Menurut kenyataan agensi tersebut, sejak Januari hingga November tahun ini, 342 orang ditangkap kerana menyogok membabitkan nilai suapan hampir RM2 juta. 

Tahun lalu bilangan yang ditangkap kerana memberi rasuah ialah 108 sementara pada 2008 hanya 93. Ertinya makin ramai yang ditangkap atas kesalahan memberi rasuah. 

Cuma, jumlah rasuah yang diberi hanyalah RM2 juta. Ertinya hanya kaki sogok berskala kecil yang ditangkap. Betapa halnya kaki sogok yang memberi suapan besar? Ini berbalik kepada soal asal ikan kecil dan ikan besar. Jerung pun kaki sogok juga! 

- TOK PERAK

No comments:

Post a Comment